Tekanan emosi boleh mendorong seseorang melakukan sesuatu perkara melampaui kewarasan akal. -Gambar hiasan AI
SEORANG pembantu rumah berusia 28 tahun ditahan atas dakwaan membunuh majikannya dalam kejadian pada awal pagi Ahad.Pembunuhan tersebut terbongkar selepas seorang individu mendapat maklumat daripada seorang pembantu rumah lain, lalu membuat laporan kepada polis. Kejadian dilaporkan berlaku di Kampung Sungai Jodoh, Daerah Batu Ampar, Batam di Indonesia.Ketua Polis Barelang, Pesuruhjaya Kanan Anggoro Wicaksono berkata, susulan laporan berkenaan, Pasukan Operasi Polis Batu Ampar dan Unit Operasi Polis Bandar Barelang pergi ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.Hasil siasatan, polis menemukan beberapa objek yang dipercayai digunakan suspek untuk menyerang mangsa. "Suspek pada mulanya memukul muka mangsa dengan tangan kanannya sebanyak sembilan kali. Dia kemudian memukul kepala mangsa dengan kerusi plastik, baldi, dan pasu bunga plastik," kata Anggoro."Suspek juga menindih mangsa dengan palet kayu, sebelum ditikam dengan pisau dapur kira-kira lapan kali di bahagian belakang dan dada."Suspek juga menendang kepala mangsa sebanyak sepuluh kali. Mangsa yang berusia 52 tahun meninggal dunia akibat cedera parah," katanya.Menurut Anggoro, motif awal pembunuhan itu berkaitan dengan rasa dendam suspek terhadap mangsa selaku majikannya."Suspek berasa sakit hati kerana mangsa dilaporkan sering menggunakan kata-kata kesat terhadapnya berkaitan kerja," katanya.Polis merampas barang bukti termasuk pisau dapur, kerusi plastik, pasu bunga plastik, baldi plastik, palet kayu, pakaian, sandal dan telefon bimbit.Menurut Anggoro, suspek berjaya diberkas kira-kira enam jam selepas kejadian."Semasa soal siasat awal, suspek mengaku melakukan perbuatannya."Suspek didakwa di bawah Perkara 458 perenggan (1) Undang-Undang Nombor 1 Tahun 2023 mengenai Kanun Jenayah bersempena dengan Perkara 468 perenggan (2) Undang-Undang Nombor 1 Tahun 2023 mengenai Kanun Jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun," katanya. -Agensi