suria

Konvensyen Pakatan Rakyat Bahas Isu-Isu 'Mendesak'

KUALA LUMPUR: Konvensyen Pakatan Rakyat kali kelima yang bakal diadakan di Shah Alam, 8 Mac ini akan membahaskan isu-isu 'mendesak' di negara ini.

Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali berkata, selain pimpinan tertinggi parti, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan dijemput bagi membentangkan perkara melibatkan isu-isu rakyat.

"Pihak NGO akan membentangkan perkara-perkara mengenai masalah dalam kehidupan seharian rakyat.

"Antara pimpinan yang akan berucap ialah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu; Presiden Parti Keadilan rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Ia diikuti slot untuk NGO-NGO serta pimpinan utama termasuklah Karpal Singh, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PAS, di sini, Selasa.

Hadir sama Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Mustafa berkata konvensyen kali ini bertemakan 'Pakatan Bersama Rakyat' dan dipengerusikan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad.

Sementara itu, Saifuddin berkata wakil-wakil NGO yang dijemput pada kali ini adalah yang aktif memperjuangkan isu-isu semasa rakyat.

Antara yang dijemput termasuklah BelaTani yang memperjuangkan kenaikan harga padi, Turun yang memperjuangkan isu kenaikan barang, wakil-wakil guru mengenai isu Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), Gerakan Media Marah (Geramm) dan C4 yang memperjuangkan isu berkaitan rasuah.

Bagaimanapun Saifuddin berkata Parti Sosialis Malaysia (PSM) tidak dijemput ke konvensyen itu kerana tidak termasuk dalam PR.

Saifuddin berkata konvensyen ini juga akan menjadi 'platform pemanas' menjelang himpunan besar-besaran pada 1 Mei depan.

"Konvensyen tidak ada kaitan dengan kepimpinan, pemilihan atau PRK Kajang. Tetapi tidak ada kawalan untuk pembahas bercakap tentangnya," katanya.

Konvensyen selama sehari ini dijangka disertai 1,200 perwakilan seluruh negara.

Artikel Lain