suria

Nirmala Nafi Reka Dakwaan Dia Dipukul Majikan Dengan Cawan Besi

KUALA LUMPUR: Pembantu rumah warga Indonesia Nirmala Bonat pada Jumaat menafikan dakwaan yang dia dipukul dengan cawan besi oleh majikannya pada 17 Mei 2004 adalah rekaannya semata-mata.

Nirmala, 29, yang menyambung keterangannya di Mahkamah Tinggi, Jumaat berkata beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam Chan Vy Sing, yang mewakili Yim Pek Ha dan suaminya, Hii Ik Tiing bahawa kecederaan yang dialaminya di bahagian dahi, bibir dan hidung adalah tidak benar.

Menerusi pernyataan saksinya, pada tarikh berkenaan Nirmala dipukul oleh majikannya Yim menggunakan cawan besi yang besar di bahagian dahi dan bibirnya sehingga berdarah di bahagian dahi, bibir dan hidung.

Ketika disoal Chan, siapa yang berada di rumah ketika kejadian itu berlaku, Nirmala berkata ketika kejadian, anak ketiga dan keempat Yim turut berada di rumah.

Ibu kepada dua anak lelaki itu turut tidak bersetuju dengan cadangan Chan yang beliau sebenarnya tidak mengingati berapa orang yang berada di rumah ketika dakwaan itu berlaku.

Kepada soalan lain, Nirmala yang berasal dari Desa Tuapakas di Kota Kupang, Indonesia itu turut tidak bersetuju bahawa Yim pernah nampak dia hampir mencurah air kotor ke atas anak Yim.

Chan: "Yim nampak kamu hampir curah air kotor ke atas anaknya dan selepas itu kamu ditegur dan langsung kamu meletakkan air di dapur dan keluar dari rumah majikan?" Nirmala: "Tidak setuju".

Pada 28 Jan 2010, Nirmala memfailkan saman terhadap Yim, 46, dan Hii, 48, selepas mendakwa didera dan dicederakan beberapa kali oleh Yim, antaranya menggunakan seterika panas yang dilekapkan pada badannya pada Januari 2004.

Wanita itu, yang diambil bekerja sebagai pembantu rumah kepada pasangan terbabit yang tinggal di Villa Putera, Jalan Tun Dr Ismail di sini pada September 2003, mendakwa Hii pula gagal menghalang isterinya daripada mencederakannya serta gagal memberikannya rawatan perubatan yang sewajarnya.

Nirmala menuntut ganti rugi am bagi kesakitan dan penderitaan yang dialaminya serta ganti rugi khas lebih RM40,000 bagi kehilangan pendapatan, perbelanjaan perubatan dan perbelanjaan lain yang akan ditaksirkan oleh mahkamah.

Pada 1 Oktober 2012, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhi hukuman penjara 12 tahun terhadap Yim, yang didapati bersalah atas tiga pertuduhan mencederakan Nirmala. Perbicaraan di hadapan Hakim Siti Khadijah S.Hassan Badjenid bersambung Isnin. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain