suria

Tarikh Bicara Kes Bunuh Pegawai Ambank Diketahui 26 Februari

SHAH ALAM: Tarikh perbicaraan kes bunuh pegawai operasi dan rompakan bersenjata di Ambank cawangan Subang Jaya akan ditetapkan apabila kes itu disebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir di sini pada 26 Februari ini.

Pendaftar Mahkamah Tinggi Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli memutuskan perkara itu selepas kes berkenaan disebut di hadapannya pada Isnin.

Tertuduh, La Ode Ardi Rasila, 37, warga Indonesia, didakwa membunuh Norazita Abu Talib, 37, di dalam bangunan Ambank No. 5 dan 7, Jalan USJ Sentral 2, Subang Jaya dekat sini antara 6 petang hingga 6.30 petang, 23 Okt tahun lepas.

La Ode didakwa mengikut Sesyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang diwakili peguam S.Selvi juga didakwa melakukan rompakan dan melepaskan tembakan dari senjata api jenis 'pump gun' dengan niat menyebabkan kematian kepada Norazita pada tempat dan masa yang sama.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain