suria

PAS Tegur PKR Henti Bincang Isu MB Selangor

Mohd Khairuddin Othman
Mohd Khairuddin Othman

PETALING JAYA: PAS Selangor sekali lagi mengingatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya menghentikan perbincangan mengenai kedudukan Menteri Besar menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang Mac depan.

Setiausahanya, Mohd Khairuddin Othman berkata PAS kesal kerana sekutu mereka itu masih membangkitkan isu jawatan Menteri Besar yang dikatakan bakal diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Sekali PAS Selangor ingin nyatakan pendirian agar isu Menteri Besar tidak dibangkitkan.

"Bagi PAS, PRK Kajang dan jawatan Menteri Besar langsung tiada kaitan. Jangan bangkitkan isu berkenanaan di saat PAS sudah menggerakkan jentera membantu memenangkan PKR di Kajang," katanya kepada mStar Online di sini, Selasa.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Anwar dalam satu temu bual bersama Australia's Newsline baru-baru ini bahawa beliau sedang berunding untuk mengambil alih tugas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Anwar juga dilaporkan berkata beliau akan menggunakan Selangor sebagai model bagi membuktikan kepimpinannya.

Sehubungan itu Ahad lalu, Abdul Khalid sendiri mengesahkan bahawa pihaknya masih dalam peringkat perbincangan sebelum membuat sebarang keputusan berhubung status Anwar yang didakwa bakal menggantikannya.

Abdul Khalid berkata perbincangan lanjut juga akan diteruskan bersama pucuk pimpinan Pakatan Rakyat bagi mencapai kesepakatan sebelum perkara tersebut diputuskan.

Kerusi DUN Kajang kosong selepas wakil rakyatnya, Lee Chin Cheh dari PKR meletakkan jawatan pada 27 Januari lepas.

Pakatan pembangkang kemudian menamakan Anwar yang juga Ketua Pembangkang sebagai calon mereka bagi PRK itu.

Artikel Sebelum

Artikel Lain