SELEPAS tular seorang wanita dikatakan 'menetap' di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selama setahun, seorang penasihat undang-undang mendedahkan terdapat beberapa individu lain turut terkandas di lapangan terbang yang sama.
Menurut Khairiah Hameed, dia menerima mesej yang memaklumkan seorang lelaki warga asing terkandas di Blok Parkir C KLIA sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020, menjadikannya hampir enam tahun berada di situ tanpa tanpa disedari pihak berkuasa.
Selain itu, maklumat yang diterimanya turut mendedahkan seorang lelaki dari Afrika dikatakan terkandas lebih dua tahun di kawasan Food Garden.
"Seorang wanita lain turut dilaporkan terkandas selama dua tahun di kawasan pelepasan dan dilaporkan kerap menimbulkan konflik dengan penumpang lain.
"Kesemua individu ini berada di kawasan yang sepatutnya dilarang untuk umum, seolah-olah bebas bergerak tanpa kawalan," kongsinya di Facebook.
Berdasarkan maklumat yang diterimanya itu, situasi sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana jika di negara lain, hanya penumpang dengan pas masuk sahaja dibenarkan berada di terminal.
ARTIKEL BERKAITAN: Wanita setahun ‘menetap’ di KLIA sah ada masalah mental, dihantar ke Hospital Kajang
Namun, di Malaysia keadaan masih selamat, jadi kes-kes seperti itu boleh berlaku tetapi tidak diketahui orang awam.
"Hanya kakitangan KLIA sahaja yang menyedari kewujudan mereka,” menurut mesej yang diterima Kahiriah.
Menerusi hantaran yang berbeza, Khairiah turut berkongsi gambar individu yang didakwa terkandas selama enam tahun di KLIA.
"Inilah lelaki yang dikatakan terkandas di KLIA sejak dari PKP. Kewarganegaraan tak dapat dikenalpasti tapi dikatakan warganegara asing.
"Janganlah tanya aku macam mana dia survive. Cuma yang boleh kata, orang Malaysia ramai baik-baik. Sumber aku ni pun tak bagi maklumat detail, cuma nak orang yang terkandas ni disedari oleh pihak berkuasa dan dibantu untuk hal yang wajar," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah KLIA, Superintenden Albany Hamzah ketika dihubungi mStar berkata pihaknya akan menyiasat dakwaan berkenaan.
"Kita belum menerima apa-apa maklumat tetapi kita akan ambil tindakan susulan," katanya.
Pada Selasa, wanita yang tular kerana dikatakan 'menetap' di KLIA selama setahun, disahkan mengalami masalah kesihatan mental.
Albany berkata wanita itu, yang merupakan warga tempatan, telah ditahan pada 18 Disember lalu.
"Semakan mendapati wanita itu merupakan pemegang kad masalah kesihatan mental dan tindakan yang perlu telah diambil dengan menghantarnya ke Hospital Kajang," katanya.


