suria

Kes Jenayah Siber Menurun, Nilai Kerugian Meningkat

KUALA LUMPUR: Walaupun jumlah kes jenayah siber yang melibatkan penipuan di Internet menurun kepada 16,661 kes tahun lalu berbanding 18,386 kes pada tahun 2012, namun jumlah nilai kerugiannya meningkat kepada RM1.8 bilion daripada RM1.7 bilion dalam tempoh masa yang sama.

Timbalan Pengarah (Operasi dan Risikan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata walaupun kesnya menurun tetapi angkanya masih tinggi.

"Ini kerana sikap tamak dan mudah mempercayai orang yang tidak dikenali menyebabkan ramai rakyat negara ini menjadi mangsa jenayah siber.

"Malah ada yang percaya dengan kemampuan 'bomoh' di Internet untuk mengubati penyakit dan menyelesai masalah peribadi mereka hingga sanggup menyerahkan barangan kemas dan wang ringgit," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata walaupun pihak polis dan media sering meuar-uarkan mengenai kegiatan sindiket di Internet seperti 'love scam' dan parcel scam' namun masih ada yang tergoda dengannya.

Abdul Jalil berkata mangsa juga didapati mudah teruja dengan kenalan baharu yang dikenali menerusi laman sosial seperti Facebook.

"Mangsa yang berasa dirinya bertuah kerana dipilih untuk berkenalan sanggup mengeluarkan duit berjuta ringgit bagi mendapatkan hadiah tertentu yang ditawarkan kenalan mereka, sebagai tanda persahabatan antara mereka," katanya.

Beliau menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan kenalan baharu dan tawaran yang dibuat.

"Minta nombor pasport kenalan baharu mereka dan buat rujukan misalnya dengan pihak Imigresen bagi mengenal pasti identiti individu berkenaan," katanya.

Beliau turut menarik perhatian bahawa majoriti mangsa jenayah siber adalah golongan wanita yang lebih gemar berkomunikasi tanpa bersemuka.

Artikel Sebelum

Artikel Lain