suria

Jumlah Mangsa Banjir Yang Dipindahkan Di Beaufort Meningkat

KOTA KINABALU: Bilangan mangsa banjir di dua pusat pemindahan banjir di Beaufort, 97 kilometer dari sini, meningkat kepada 228 orang berbanding cuma 10 orang pada Khamis.

Pegawai Daerah Beaufort Mohd Sahid Othman ketika dihubungi Bernama berkata sebanyak 208 orang dari Kampung Lago dan Kampung Suasa ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Kampung Suasa manakala 20 orang lagi di pusat pemindahan banjir di Dewan Pa Musa.

"Proses memindahkan 218 mangsa banjir ke kedua-dua pusat pemindahan berkenaan bermula kira-kira jam 3 petang semalam. Keadaan mereka di pusat-pusat pemindahan itu baik di bawah seliaan agensi kerajaan berkaitan," katanya.

Mohd Sahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah berkata paras Sungai Padas pada pagi ini meningkat kepada 9.06 meter melebihi paras bahaya, 8.70 meter.

Katanya pihaknya menjangkakan ada lagi pemindahan petang ini sekiranya hujan yang turun sejak pagi semalam berterusan.

Selain menggunakan pengangkutan darat untuk membuat pemantauan, pihaknya turut menggunakan bot, memandangkan sudah banyak jalan raya ke kampung-kampung ditenggelami air.

Sementara itu, di Kilometer 14.5 Jalan Nabawan-Sepulut, kira-kira 198 kilometer dari sini, jalan cuma dapat dilalui kenderaan berat kerana ditenggelami air sedalam satu meter sejak Khamis.

Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Nabawan Mohd Hardy Laidin berkata jalan berkenaan ditenggelami air akibat limpahan Sungai Pendawan.

Sehubungan itu beliau menasihatkan pengguna jalan raya dari Kota Kinabalu atau dari Keningau ke Tawau atau sebaliknya dan yang menggunakan kenderaan ringan supaya tidak melalui jalan berkenaan buat sementara waktu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain