KUALA LUMPUR: MCA pada Khamis menubuhkan lapan jawatankuasa khas bagi mempercepatkan tugas-tugas transformasi dalam parti.
Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata jawatankuasa itu ditubuhkan kerana perhatian berat perlu diberikan dari segi kerjasama tugas untuk mencapai matlamat transformasi segera.
"Kita telah mengambil satu kaedah iaitu kerjasama berpasukan dan memastikan kita dapat bergerak dan segera.
"MCA dan jawatankuasa pusat hari ini telah menubuhkan lapan jawatankuasa, 13 biro dan dua 'special task force'," katanya pada sidang media selepas pertama kali mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pusat MCA di Wisma MCA, di sini.
Mesyuarat ini merupakan mesyuarat yang pertama selepas pemilihan MCA pada 21 Disember lalu yang mana Liow memenangi jawatan presiden.
Lapan jawatankuasa tersebut ialah jawatankuasa pembangunan politik, jawatankuasa rundingan pendidikan, jawatankuasa persediaan PRU-14, dan jawatankuasa perhubungan NGO dan sekerja masyarakat Cina.
Empat jawatankuasa lagi ialah jawatankuasa penyelidikan dan perancangan strategi, jawatankuasa rundingan ekonomi, jawatankuasa pembangunan sosial dan jawatankuasa penstrukturan semula organisasi.
Liow berkata jawatankuasa-jawatankuasa ini akan membolehkan MCA berkerjasama dengan NGO dan pertubuhan-pertubuhan lain terutama dalam membincangkan isu-isu rakyat.
"Kita adakan KPI supaya jawatankuasa ini mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya dua kali sebulan dan setiap tahun seminar atau bengkel untuk memberi input kepada MCA.
"Resolusi AGM (mesyuarat agung tahunan) bukan sahaja datang dari parti tapi juga membolehkan lapan jawatankuasa memberi idea-idea untuk mengisi resolusi AGM pada tahun-tahun akan datang," katanya.
Berikut adalah senarai ketua lapan jawatankuasa yang ditubuhkan.
Jawatankuasa Pembangunan Politik - Datuk Seri Liow Tiong Lai
Jawatankuasa Rundingan Pendidikan - Datuk Dr Wee Ka Siong
Jawatankuasa Persediaan PRU-14 - Datuk Seri Ong Ka Chuan
Jawatankuasa Perhubungan NGO & Sekerja Masyarakat Cina - Datuk Lee Chee Leong
Jawatankuasa Penyelidikan dan Perancangan Strategi - Datuk Dr Hou Kok Chung
Jawatankuasa Rundingan Ekonomi - Datuk Chua Tee Yong
Jawatankuasa Pembangunan Sosial - Datuk Paduka Chew Mei Fun
Jawatankuasa Penstrukturan Semula Organisasi - Datuk Yoo Wei How


