suria

Crowe Horwath: Kerajaan Mesti Gubal Segera Undang-Undang Baharu GST

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu segera menggubal undang-undang mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan tidak menunggu sehingga pelaksanaannya pada 1 April, 2015.

Rakan Pengurusan Crowe Horwath Malaysia Poon Yew Hoe berkata walaupun GST merupakan sistem yang baik, namun banyak ulasan negatif dalam pasaran mengenainya.

Dengan menyediakan undang-undang mengenainya lebih awal, ia akan memberi keyakinan dan kepastian kepada perniagaan mengenai pelaksanaannya.

"Perniagaan tidak suka sesuatu yang tidak pasti. Sama ada undang-undang GST, peraturan atau garis panduan industri, kami mahu ia disediakan awal supaya kami dapat mengkaji butirannya.

"Jika ada masalah, kabur atau tidak pasti, kami boleh mendapatkan penjelasan," katanya

Beliau berkata apabila undang-undang jelas, perniagaan akan lebih inovatif untuk menyelesaikan sendiri masalah perniagaan mereka.

Mengenai kebimbangan pelaksanaan GST akan menyebabkan harga meningkat, Poon berkata jika peniagaan mengawal kos dengan baik dan tidak terlebih caj, harga tidak akan meningkat dengan ketara.

“Mengikut perkiraan, kami mendapati beberapa harga barangan akan turun dan sebilangan lagi naik. Lazimnya seperti sektor hartanah yang sebahagiannya menjejaskan syarikat pembinaan, secara teorinya tidak wajar berlaku peningkatan harga yang ketara," katanya.

Ini disebabkan syarikat pembinaan membeli bahan daripada pengeluar yang sebelum ini membayar cukai jualan dan perkhidmatan untuk barangan mereka, tetapi kini membayar kurang untuk GST.

Pengurangan dalam kos ini diturunkan kepada pemaju, katanya.

Sementara itu, Rakan GST Crowe Horwath Australia, Jonathan Doy berkata selepas Australia memansuhkan beberapa cukai dan menggantikannya dengan GST, kadar inflasi mencatatkan sekitar 2.0 hingga 3.0 peratus dengan indeks harga pengguna (CPI) sedikit meningkat.

“Bagi memantau perubahan harga, kami mempunyai organisasi badan pemantau harga pengguna yang dikenali sebagai Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia.

“Badan pemantau itu mengkaji industri kritikal menggunakan garis panduan ahli ekonomi bagi industri dari segi peningkatan dan penurunan harga serta jumlahnya,” katanya.

Doy berkata suruhanjaya itu memantau rapat pergerakan harga.

“Perubahan memang berlaku, namun membabitkan angka yang sangat kecil," katanya.

Doy berkata berdasarkan pemantauan beliau, Kastam Malaysia sudah berada jauh ke hadapan dalam menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik dalam persediaan menghadapi GST.

“Pengajaran asas ialah membuat persediaan awal. Lebih cepat anda mulakan, anda dapat mengelak masalah dalam melaksanakannya, dengan sumber yang terhad dan mahal," katanya.

Doy berkata kerajaan wajar terus memberi penerangan kepada rakyat mengenai GST, dan menerusi pendidikan, pematuhan mudah dan aktif dapat direalisasikan.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain