suria

Bapa Mahu Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap Pengurusan 'Euro Wheel'

GEORGE TOWN: Bapa kepada kanak-kanak lelaki yang terjatuh dari permainan roda berpusing di Pesta Sungai Nibong, di sini Ahad mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat permainan Euro Wheel.

Abu Kassim Yaacob, 41, berkata, beliau kesal kerana pengurusan syarikat permainan itu gagal memberi penjelasan mengenai punca kejadian.

"Saya tidak tahu dengan jelas bagaimana anak saya boleh jatuh kerana apabila ditanya kepada pekerja di tapak pesta terbabit, mereka tidak dapat memberikan jawapan yang tepat, malah memberitahu tidak sedar bagaimana anak saya boleh terjatuh," katanya kepada pemberita di Hospital Pulau Pinang di sini Isnin.

Beliau berkata, buat masa sekarang, tumpuan adalah untuk menjaga kesihatan anaknya Mohamad Khairul Naimme, 6, dan beliau akan mengambil tindakan undang-undang setelah selesai siasatan kelak.

Pada Ahad, Abu Kassim yang berniaga dalam tapak pesta itu terkejut apabila menemui anaknya dalam keadaan tidak sedar diri dipercayai akibat terjatuh dari mainan roda berpusing.

Katanya, anaknya dihantar ke Hospital Pulau Pinang dan dilaporkan koma semalaman akibat kecederaan dalaman termasuk pada bahagian limpa dan buah pinggang.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu dilaporkan sedar tengah hari tadi tetapi diberi ubat penenang bagi mengelakkan dia bergerak aktif.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan (DOSH) Pulau Pinang, Mohd Anuar Embi ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang menyiasat perkara itu dari pelbagai aspek.

"Kita telah arahkan anggota ke tapak pesta itu pagi tadi dan siasat perkara ini dari pelbagai sudut untuk mengetahui punca sebenar kejadian itu," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain