suria

ATM Siap Sedia Hadapi Gelombang Kedua Banjir Di Kelantan

KOTA BARU: Lebih 400 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diletakkan dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi gelombang kedua banjir di Kelantan yang mungkin berlaku pada bila-bila masa.

Panglima Dua Divisyen Mej Jen Datuk Mohd Shukuri Ahmad berkata anggota terbabit ditempatkan di beberapa jajahan yang sering ditenggelami banjir antaranya Pasir Mas, Tumpat, Bachok dan Kuala Krai.

"Selain anggota, peralatan lain seperti bot juga ditempatkan di kawasan tersebut dan akan digerakkan jika banjir melanda dan akan membantu pihak berkuasa tempatan memindahkan mangsa banjir.

"Selain Kelantan, ATM turut menempatkan anggota di negeri-negeri lain yang terlibat dalam bencana itu," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan kepada perwira Op Daulat Lahad Datu di Wisma Perwira Markas 8 Briged di sini, Isnin.

Pada majlis yang turut dihadiri Panglima Briged Kelapan Infantri, Brig Jen Datuk Mohamad Zaki Hamzah itu, Mohd Shukuri menyerahkan sumbangan RM30,000 daripada kerajaan negeri Pulau Pinang, masing-masing kepada keluarga Allahyarham Koperal Ahmad Hurairah Ismail dan Koperal Ahmad Farhan Ruslan.

Difahamkan, kerajaan negeri Pulau Pinang turut menyerahkan sumbangan yang sama kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkorban dalam operasi yang sama.

Mengulas mengenai perwira yang terkorban dalam Op Daulat dan operasi lain, Mohd Shukuri berkata ATM akan 'menganak-angkatkan' pusara mereka yang gugur itu dengan memeliharanya sebaik mungkin.

"Kami akan sentiasa membantu keluarga perwira yang gugur mempertahankan kedaulatan negara. Jika ada masalah, datang berjumpa kami kerana kami sentiasa terbuka untuk membantu setakat mana yang mampu," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain