suria

Tak jumpa jodoh atau sengaja pilih hidup solo? Rupanya ini jawapan mengapa makin ramai mahu membujang seumur hidup

Sesetengah individu memilih untuk terus hidup membujang tanpa terikat dengan pasangan hidup. -Gambar hiasan

SATU daripada empat orang dewasa di Amerika Syarikat dijangka kekal hidup solo sepanjang hayat mereka, demikian menurut kajian.

Kajian yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Pew itu menyatakan trend berkenaan didorong perubahan norma masyarakat, peralihan keutamaan hidup serta tekanan ekonomi yang semakin mencabar.

Antara keutamaan hidup masa kini adalah kerjaya, kebebasan diri, kestabilan kewangan atau kebahagiaan peribadi.

Menurut laporan itu lagi, pandangan terhadap perkahwinan kini semakin berubah apabila lebih ramai individu mengutamakan kebebasan peribadi dan berdikari berbanding kehidupan saling bergantung dalam rumah tangga.

Selain itu, tumpuan terhadap kerjaya, pembangunan diri serta matlamat hidup lain turut menyebabkan perkahwinan bukan lagi keutamaan bagi sesetengah golongan.

Tekanan kos sara hidup yang tinggi serta beban hutang seperti pinjaman pelajaran juga menyukarkan individu untuk mencari pasangan, apatah lagi menanggung kos majlis perkahwinan.

Bagaimanapun, pakar menegaskan kehidupan bujang tidak bermaksud seseorang itu keseorangan, sebaliknya ia mencerminkan pilihan untuk hidup mengikut acuan sendiri.

Perkembangan ini hadir selepas laporan mendedahkan wanita di Ireland kini menunggu lebih lama sebelum berkahwin.

Pejabat Perangkaan Pusat Ireland memaklumkan usia purata pengantin perempuan kini mencecah 36 tahun, manakala pengantin lelaki pula 37 tahun.

Sebanyak 19,680 perkahwinan direkodkan di Ireland pada 2024, termasuk 325 perkahwinan sejenis lelaki dan 343 perkahwinan sejenis wanita.

Dalam pada itu, pasangan di negara berkenaan dilaporkan membelanjakan antara €25,000 Euro (RM120,000) hingga €36,000 (RM172,000) bagi menampung kos perkahwinan mereka. -Agensi

Artikel Lain