suria

Jangan fikir cuci je dah selamat... Cili kering berhabuk sebenarnya ada toksin, risiko penyebab kanser hati

Cili yang sudah berhabuk dikhuatiri sudah dijangkiti kulat atau fungi. -Foto Facebook

RAMAI beranggapan cili kering yang berhabuk atau berkulat masih selamat digunakan asalkan dibasuh sebelum dimasak, kerana selama ini tiada kesan buruk yang jelas dirasai. 

Namun tahukah anda, kulat yang kelihatan pada cili kering sebenarnya bahagian pembiakan fungi iaitu spora? 

Dalam satu hantaran, seorang pengguna Facebook, Syifa Ul-hanani yang sering berkongsi mengenai fakta dari sudut Sains menjelaskan, seperti tumbuhan yang mempunyai bunga dan akar, fungi juga mempunyai struktur yang tidak kelihatan dengan mata kasar. 

Bahagian utama ini dipanggil mycelia dan ia merebak di dalam tisu cili kering pada peringkat sel, bukan sekadar di permukaan.

Ini bermakna, walaupun habuk atau kulat yang kelihatan dibersihkan, mycelia tersebut sudah pun berada di dalam cili kering. 

Fungi yang sering tumbuh pada cili kering ialah Aspergillus sp, khususnya daripada kumpulan Aspergillus section Flavi. 

Fungi ini menghasilkan aflatoksin, iaitu bahan toksin yang sangat kuat dan diklasifikasikan sebagai hepatokarsinogen iaitu agen penyebab kanser hati. 

Terdapat pelbagai jenis Aspergillus yang berbeza. -Foto Facebook Syifa

Antara jenis aflatoksin, Aflatoksin B1 adalah yang paling berbahaya, menyebabkan beberapa negara menetapkan had selamat aflatoksin dalam makanan. 

Masalah sering berlaku apabila cili kering yang kelihatan elok ketika dibeli, kemudiannya disimpan dalam keadaan lembap, gelap dan suhu yang 'sesuai' di rumah. 

Keadaan ini sangat kondusif untuk pertumbuhan Aspergillus, menyebabkan kandungan aflatoksin meningkat berkali ganda.

Dalam keadaan ini, Syifa menegaskan bahawa cili kering tersebut perlu dibuang kerana kesan aflatoksin tidak berlaku serta-merta, tetapi terkumpul dalam jangka panjang dan meningkatkan risiko penyakit serius.

Antara kesan pencemaran aflatoksin yang dikaitkan melalui kajian:

1. Risiko kanser hempedu dan hati

2. Sistem imun menjadi lemah

3. Pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak terbantut

4. Kerosakan hati, sirosis dan kegagalan hati yang boleh membawa maut.

Sebagai langkah pencegahan, Syifa berkongsi beberapa kaedah selamat mengendalikan cili:

1. Cili segar perlu dijemur hingga benar-benar kering sebelum disimpan dalam bekas kedap udara bersama bahan penyerap lembapan

2. Simpan dalam peti sejuk atau freezer

3. Beli dalam kuantiti kecil dan terus masak

4. Proses cili kering menjadi pes sebaik dibeli dan bekukan.

Kesimpulannya, kulat pada cili kering bukan isu kosmetik atau sekadar habuk biasa tetapi ia melibatkan risiko toksik yang serius dan tidak boleh diatasi hanya dengan mencuci.

Artikel Lain