SEORANG ibu membuat perkongsian mengenai realiti sebenar menguruskan anak kecil dalam kehidupan seharian, khususnya apabila berdepan kekangan cuaca, lokasi dan situasi yang tidak menentu.
Menerusi hantarannya di Facebook, Norashida Abd Rahman menjelaskan bahawa dia bukanlah tidak menggunakan stroller, namun beangapan baby carrier atau alat menggendong bayi lebih praktikal dalam kebanyakan keadaan.
Menurutnya, terdapat situasi tertentu yang menyebabkan stroller dianggap kurang sesuai, antaranya apabila perlu meletakkan kenderaan jauh dari lokasi dituju dan terpaksa berjalan sambil memegang payung ketika cuaca panas atau hujan.
"Alhamdulillah, babywearing memang memudahkan urusan ibu bapa," kongsinya sambil memuat naik sekeping gambar kenangan ketika menggendong anak keduanya kira-kira 15 tahun lalu.

Norashida ketika menggendong anak menggunakan baby carrier.
Keadaan menjadi lebih mencabar apabila bayi sedang tidur di dalam car seat (kerusi keselamatan khas untuk bayi) kerana pemindahan ke stroller lazimnya akan mengganggu tidur anak dan akhirnya mereka terjaga serta meragam.
Selain itu, faktor jalan yang tidak rata turut menjadi punca bayi mudah terjaga apabila stroller ditolak di atas permukaan berbonggol.
Ditambah pula dengan cuaca panas atau hujan renyai, ibu bapa terpaksa memilih antara menolak stroller atau memegang payung, sekali gus menyukarkan pergerakan.
Bagi Norashida, penggunaan baby carrier adalah penyelesaian yang lebih memudahkan kerana tangannya menjadi lebih bebas untuk memegang payung atau menolak troli barangan.
Bukan itu sahaja, bayi juga kekal tidur lena dengan tenang apabila dia mampu menggendong bayi selama tiga hingga empat jam tanpa masalah.


