KES sakit belakang sering dianggap masalah biasa, namun ada kalanya ia berkemungkinan merupakan satu gejala kepada keadaan yang jauh lebih serius.
Inilah yang ditegaskan oleh seorang pakar perubatan keluarga, Dr Kent Khaw, yang berkongsi situasi sebenar sebagai peringatan dan iktibar kepada orang ramai.
Cerita bermula apabila seorang suami mengalami sakit belakang selama seminggu dengan kehadiran simptom rasa lenguh, tegang dan tidak selesa.
Menurut Dr Kent, pesakit ini dan isterinya pada mulanya menganggap kesakitan tersebut hanya disebabkan 'salah tidur' atau 'masuk angin'.
Difahamkan pasangan ini bertindak menyapu minyak panas dan mengurut, namun rasa sakit itu bukan sahaja tidak berkurang malah semakin parah hingga mengganggu tidur.

Rasa sakit belakang berpanjangan boleh membawa kepada penyakit lain. -Gambar hiasan AI
Pada satu malam, ketika menonton televisyen, lelaki itu tiba-tiba memegang bahagian belakang sebelum rebah dan tidak sedarkan diri.
Setibanya di hospital, semuanya sudah terlambat apabila doktor mengesahkan pesakit itu mengalami serangan jantung.
Bagi menjelaskan kekeliruan, Dr Kent berkata bahawa jantung mempunyai rangkaian saraf yang turut berkait dengan bahagian belakang badan.
Oleh itu, apabila jantung 'lemas' atau tersumbat, gejalanya tidak semestinya hadir sebagai sakit dada kerana kadangkala sakit belakang menjadi tanda amaran awal.
Tanda-tanda yang bukan disebabkan sakit urat biasa menurut Dr Kent:
1. Sakit belakang di bahagian atas, terutama sekitar belikat.
2. Rasa dada ketat atau sukar bernafas.
3. Berpeluh sejuk secara tiba-tiba.
4. Rasa loya atau hendak muntah.
5. Jantung berdebar laju.
Dr Kent menasihatkan, jika tanda seperti ini muncul, jangan urut dan menunggu angin keluar.
Segera ke klinik atau hospital untuk lakukan pemeriksaan Electrocardiogram (ECG).


