suria

Tak sedar miliki gen kanser, penderma sperma hasilkan hampir 200 orang anak... Ada sudah meninggal dunia

Penderma sperma yang berpenyakit boleh menyebabkan anak yang dilahirkan terdedah kepada risiko kesihatan serius. -Gambar hiasan AI

SEORANG penderma sperma yang memiliki genetik berkaitan kanser dikesan menjadi bapa kepada sekurang-kurangnya 197 orang anak di seluruh Eropah.

Lebih mengejutkan sebahagian daripada mereka sudah pun meninggal dunia akibat penyakit kanser, demikian menurut satu siasatan baharu.

Penderma tersebut, yang berada dalam keadaan sihat rupanya mempunyai mutasi genetik bernama TP53, berkemungkinan menyebabkan sindrom Li-Fraumeni.

Ia merupakan gangguan genetik yang meningkatkan risiko seseorang untuk menghidap kanser.

Lelaki itu juga tidak menyedari bahawa dia membawa mutasi tersebut ketika menderma sperma.

Pada Mei, CNN melaporkan bahawa lelaki itu menjadi bapa kepada sekurang-kurangnya 67 kanak-kanak di lapan negara Eropah.

Tetapi satu siasatan besar-besaran yang diterbitkan beberapa organisasi berita pada Rabu menunjukkan bahawa jumlah anak terjejas sebenarnya jauh lebih tinggi.

Menurut BBC, angka baharu tersebut diperoleh melalui permohonan maklumat dan temu bual dengan doktor serta pesakit.

Untuk rekod lelaki itu menderma kepada sebuah bank sperma swasta di Denmark bernama European Sperm Bank (ESB), tetapi spermanya kemudian digunakan oleh 67 klinik di 14 negara berbeza. 

Menurut BBC lagi, jumlah akhir anak terjejas mungkin lebih tinggi kerana data belum diperoleh daripada semua negara.

Tidak diketahui berapa ramai anak-anak yang mewarisi mutasi genetik tersebut, tetapi sebahagian kecil daripada mereka akan terlepas daripada mendapat sebarang bentuk kanser sepanjang hayat.

Menurut Cleveland Clinic, individu dengan keadaan ini mempunyai 90 peratus peluang untuk mendapat satu atau lebih jenis kanser menjelang usia 60 tahun dan sekitar 50 peratus mengalaminya sebelum usia 40 tahun.

Ahli biologi di Hospital Universiti Rouen di Perancis, Edwige Kasper berkata dia mengenal pasti 67 kanak-kanak awal yang terjejas semasa pembentangan pada persidangan tahunan European Society of Human Genetics pada bulan Mei.

Pada waktu itu, Edwige berkata 10 daripada kanak-kanak didiagnosis dengan kanser seperti tumor otak dan limfoma Hodgkin dan 13 lagi membawa gen tersebut tetapi belum menghidap kanser.

Kanak-kanak tersebut memerlukan pemeriksaan perubatan berkala disebabkan peningkatan risiko kanser dan mempunyai 50 peratus peluang untuk mewariskannya kepada anak mereka sendiri. -Agensi

Artikel Lain