suria

Ambil suntikan kurus, wanita kritikal lepas turun 5kg dalam masa 4 hari... Doktor dedah sisi gelap produk jual 'live'

Elakkan mengambil sebarang suntikan atau sebarang produk tidak dikawal selia. -Gambar hiasan AI

SEORANG wanita dikejarkan ke hospital dalam keadaan kritikal selepas muntah darah dipercayai akibat mengambil suntikan bagi tujuan menurunkan berat badan yang dibeli secara dalam talian.

Mangsa berusia 28 tahun yang dikenali sebagai Chen dari Suzhou, China itu berkata, dia tertarik selepas melihat iklan suntikan kurus dalam satu hantaran media sosial rakannya.

Lebih mengujakan, rakannya itu mendakwa setiap suntikan mampu menurunkan sekurang-kurangnya 3.5kg berat badan.

Chen kemudian membayar 900 yuan (kira-kira RM525) untuk satu pakej rawatan lengkap yang mengandungi tiga suntikan.

Bagaimanapun, kerana pertama kali mencuba dan bimbang akan keselamatan, Chen hanya menyuntik separuh daripada dos yang disarankan di bahagian perut.

Tidak lama selepas itu, dia mengalami loya, muntah dan hilang selera makan namun Chen menganggap semua simptom itu sebagai kesan sampingan biasa proses penurunan berat badan.

"Dalam tiga hari pertama, saya memang turun hampir satu kilogram sehari. Secara keseluruhan, saya kehilangan lima kilogram dalam masa hanya empat hari," katanya.

Residents gather to create awareness to of the deterioration of Bukit Jalil Recreation Park.

Lakukan senaman atau amalkan gaya hidup sihat untuk menurunkan berat badan. -Gambar hiasan

Namun pada hari keempat, keadaannya berubah menjadi semakin teruk apabila dia mula muntah cecair berwarna hijau dan kuning yang disahkan oleh doktor sebagai hempedu.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila dia tiba-tiba muntah darah ketika menjalani pemeriksaan jantung.

"Saluran pencernaan saya sudah rosak dan berdarah. Ketika itu juga, denyutan nadi saya sempat terhenti. 

"Saya tidak sedar ketika rawatan kecemasan dilakukan dan hanya mengetahui perkara tersebut selepas sedar semula.

"Kekasih ada beritahu saya hampir menerima notis mengatakan saya berada dalam keadaan kritikal," katanya lagi.

Selepas rawatan kecemasan, keadaannya kembali stabil tetapi doktor memaklumkan kerosakan dalaman belum pulih sepenuhnya dan menasihatkannya agar menangguhkan perancangan hamil sekurang-kurangnya setahun.

Menurut laporan penyiar rasmi China, CCTV, siasatan mendapati suntikan kurus yang dipasarkan dengan nama-nama moden di platform penstriman langsung (live) sebenarnya adalah produk tidak dikawal selia.

Produk berkenaan menggunakan lesen pengeluaran palsu atau dipinjam serta dihasilkan di bengkel tidak berlesen.

Lebih mengejutkan, bahan utama suntikan tersebut ialah semaglutida iaitu ubat preskripsi untuk pesakit diabetes jenis 2 dan pengurusan berat badan jangka panjang yang diperoleh secara haram sebelum dibungkus semula.

Kos pengeluaran setiap suntikan dianggarkan hanya sekitar empat yuan (kira-kira RM2). -Agensi

Artikel Lain