suria

8 tanda awal berat badan dah naik tapi ramai buat-buat tak nampak... Jika terus selesa pasti obes

Berat badan berlebihan menyukarkan individu berkenaan untuk tunduk ketika pakai kasut. -Gambar hiasan AI

OBESITI sering dikaitkan dengan bentuk serta perubahan tubuh yang jelas namun tanda-tanda pada peringkat awal seringkali diabaikan. 

Ramai menganggap tanda-tanda awal ini sebagai perkara biasa, sedangkan ia sebenarnya petunjuk awal kepada risiko kesihatan jangka panjang.

Keadaan ini kerap dianggap remeh apabila seseorang merasakan badannya masih normal, sedangkan ia merupakan tanda awal obesiti yang sering tidak disedari.

Antara tanda-tanda awal obesiti yang ramai 'buat-buat tidak nampak' atau abaikan adalah seperti berikut: 

1. Cepat semput naik satu tingkat tangga walaupun berjalan perlahan.

2. Rasa sakit atau berat di lutut, buku lali dan pinggang setiap kali bangun atau banyak berjalan.

3. Susah tunduk untuk pakai stoking atau ikat tali kasut, rasa perut dan dada macam tersekat.

4. Baju kerja yang dulu longgar makin hari makin ketat di bahagian perut, lengan dan dada.

5. Tuala mandi atau tali pinggang yang dulu selesa, kini semakin 'pendek' dan susah untuk dipasang.

6. Tidur berdengkur kuat sampai pasangan terjaga atau bangun tidur rasa tak segar dan sakit kepala.

7. Selalu rasa mengah bila perlu berjalan laju sekejap, contohnya kejar lif atau lintas jalan.

8. Berat badan naik 3 hingga 5 kilogram (kg) dalam beberapa bulan tanpa melakukan perubahan besar pada gaya hidup, tetapi anda anggap 'nanti turun sendiri'.

Rasa mengah ketika turun atau naikitangga boleh menjadi tanda awal obesiti. -Gambar hiasan AI

Menurut Public Health Malaysia, tanda-tanda awal obesiti bukan isu kecantikan atau bentuk badan semata-mata. 

Ia berkait rapat dengan kesihatan jantung, paru-paru, sendi serta kualiti hidup dalam jangka masa panjang.

Lebih awal perubahan ini disedari, lebih besar peluang untuk mencegah penyakit kronik yang akhirnya memerlukan rawatan dan pengambilan ubat secara berterusan.

Jika seseorang mula menyedari satu atau dua tanda awal obesiti, ia bukan alasan untuk rasa malu atau menyalahkan diri. 

Antara langkah-langkah asas boleh dilakukan untuk mengenal isyarat penting sekiranya anda sudah berada di peringkat obesiti adalah seperti berikut:

1. Menimbang berat badan secara berkala.

2. Mengira BMI.

3. Mengukur lilit pinggang.

4. Melakukan pemeriksaan kesihatan di klinik.

5. Mengubah corak pemakanan

6. Meningkatkan aktiviti fizikal secara berperingkat mengikut kemampuan.

Tubuh telah lama berfungsi tanpa henti menyokong aktiviti harian.

Menjaganya dari sekarang adalah pelaburan penting untuk kesihatan pada masa hadapan.

Artikel Lain