suria

Kalimah Allah: Polis Selangor Ambil Keterangan Paderi Lawrence Andrew

KLANG: Polis Selangor akan mengambil keterangan Pengarang Mingguan The Herald, Paderi Lawrence Andrew susulan laporan polis yang dibuat oleh pelbagai pihak berhubung kenyataannya mengenai kalimah Allah.

Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata bagaimanapun sebelum berbuat demikian pihaknya akan terlebih dahulu berbincang dengan Majlis Agama Islam Selangor.

"Polis akan panggil paderi itu untuk direkodkan kenyataannya tapi tarikhnya belum diketahui lagi," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Mohd Shukri menegaskan proses itu merupakan sebahagian daripada proses mengumpul maklumat bagi melengkapkan siasatan terhadap laporan polis yang dibuat oleh pihak yang berkenaan.

"Berapa banyak laporan polis saya belum muktamadkan lagi tetapi sudah menjadi standard operasi polis iaitu setiap laporan kita terima, kita akan siasat termasuk laporan berhubung isu penggunaan kalimah Allah ini," katanya.

Laporan polis itu dibuat susulan kenyataan paderi berkenaan yang disiarkan oleh sebuah portal berita pada 27 Disember lalu bahawa pihaknya tetap akan menggunakan kalimah Allah di semua gereja di Selangor.

Kenyataan paderi itu dianggap biadab kerana bukan sahaja tidak mematuhi keputusan mahkamah tetapi juga mengingkari titah Sultan Selangor yang melarang orang bukan Islam di negeri berkenaan menggunakan kalimah Allah, selaras dengan Seksyen 9, Bahagian 1, Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shukri meluahkan rasa kecewa dengan sikap sesetengah pihak yang membuat pelbagai tuduhan terhadap polis Selangor susulan penangkapan seorang lelaki yang memiliki bom buatan sendiri pada Selasa lepas.

"Segala maklumat yang polis keluarkan dalam kes lelaki ditahan bersama-sama bom buatan sendiri itu adalah benar dan tiada maklumat lain ditokok tambah," katanya.

Susulan penangkapan lelaki itu, laman Facebook Polis Selangor menjadi sasaran kecaman beberapa pihak yang antara lain mendakwa polis sengaja membuat provokasi dan kononnya bom tersebut tidak ada kaitan dengan rancangan perhimpunan pada sambutan tahun baharu.

Terdahulu Mohd Shukri menyaksikan penyerahan tugas Ketua Polis Daerah Klang Selatan kepada ACP Kamarul Zaman Mamat, menggantikan ACP Mohamed Mad Yusof yang dilantik sebagai Timbalan Komandan Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur.

Kamarul Zaman sebelum ini merupakan Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman. - BERNAMA

Artikel Lain