suria

Banjir: TNB Terpaksa Tutup 246 Pencawang Di Kemaman

KEMAMAN: Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa menutup 246 daripada lebih 500 pencawang di daerah ini berikutan banjir yang melanda.

Pengurus Besar TNB Terengganu Ir Saharenam Mukhtar berkata berikutan itu, sebahagian kawasan di Kemaman dan satu di Dungun terputus bekalan elektrik sejak Selasa.

"Penutupan itu membabitkan lebih 11,000 pengguna yang hanya dibuat di pencawang yang terletak di sekitar bandar Cukai, Air Putih, Neram dan Hulu Dungun.

"Kita harap pengguna bersabar kerana pencawang berkenaan akan dibuka semula jika keadaan banjir semakin surut. Ini bagi mengelakkan daripada berlakunya litar pintas," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada penyerahan sumbangan bantuan TNB berupa keperluan asas kepada pegawai daerah Kemaman untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Bantuan itu berupa air mineral, beras, lampin pakai buang, minyak masak dan sardin yang diserahkan kepada Pegawai Daerah Kemaman Mohamad Kamil Othman.

TNB meminta orang ramai menghubungi talian aduan di nombor 15454 jika menghadapi kesulitan.

Dalam perkembangan lain, Saharenam turut menyangkal khabar angin mengenai pelepasan air di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu yang tersebar luas di media sosial sejak tiga hari lepas.

"Setakat pagi ini, kedalaman di situ mencatat 138 meter. Kedalaman maksimum Kenyir 145 meter. Jadi kalau ikutkan, kita masih lagi boleh menampung air sehingga 6 hingga 7 meter.

"Jadi khabar angin empangan melepaskan air adalah tidak benar sama sekali," katanya.

Sementara itu, menurut kenyataan TNB di KUALA LUMPUR, lima set janakuasa telah dibekalkan ke pusat-pusat pemindahan di Kemaman.

Di PAHANG, menurutnya, sejumlah 116 buah pencawang elektrik di beberapa daerah di negeri itu terpaksa dihentikan, membabitkan 7,301 pengguna.

Semalam, 1,072 buah pencawang elektrik di negeri itu ditenggelami air menyebabkan TNB menghentikan bekalan elektrik membabitkan 62,907 pengguna.

"Sebanyak 14 set janakuasa telah dibekalkan ke pusat-pusat pemindahan dan perumahan di Pahang iaitu 12 set janakuasa di Kuantan manakala dua set janakuasa di Jerantut," katanya.

Di Johor, keadaan banjir terkawal, oleh itu hanya 23 pengguna, yang terbabit dengan penutupan bekalan elektrik.

Katanya TNB turut menyalurkan bantuan kemanusiaan bernilai RM20,000 kepada tiga negeri berkenaan.

Orang ramai boleh menghubungi bilik gerakan untuk maklumat lanjut iaitu Melaka di talian 06-2829 488, Kelantan 09-7483 955, Pahang 09-5155 5678 dan Terengganu 09-6241 009. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut