suria

MBJB Turun Kadar Cukai Harta Tahun Depan

NUSAJAYA: Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB) akan menurunkan kadar cukai harta mulai 1 Januari tahun depan untuk meringankan beban golongan berpendapatan rendah.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Datuk Abd Latif Bandi berkata, penurunan kadar terbabit akan dilaksanakan mengikut jenis pegangan.

Beliau berkata bagi kategori perumahan, kadar cukai harta yang baharu ialah pada 0.12 peratus berbanding 0.13 peratus manakala perumahan rizab Melayu pada kadar 0.04 peratus berbanding 0.05 peratus sebelum ini.

"Bagi perumahan kos rendah, kadar baharunya ialah 0.11 peratus berbanding 0.13 peratus manakala jenis pertanian, kadar cukai hartanya dikekalkan 0.07 peratus," katanya pada sesi penggulungan perbahasan Mesyuarat Ketiga, Penggal Pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor Ke-13 di Kota Iskandar di sini Khamis.

Bagaimanapun, bagi jenis perdagangan, kadar cukai harta akan dinaikkan kepada 0.27 peratus berbanding 0.26 peratus manakala perindustrian, kadar baharunya ialah 0.30 peratus berbanding 0.28 peratus sebelum ini.

Kadar cukai harta Kampung Senibong juga akan dinaikan sebanyak 0.06 peratus, menjadikan kadar baharu ialah 0.07 peratus.

Menurut beliau, mereka yang tidak berpuas hati dengan nilaian yang dibuat MBJB boleh membuat aduan secara bertulis sebelum 2 Disember ini.

"Setiap bantahan yang dibuat akan dipanggil dalam mesyuarat Jawatankuasa Bantahan Cukai Harta yang akan mendengar dan seterusnya membuat keputusan terhadap bantahan yang dikemukakan," katanya.

Abd Latif turut berkata, kerajaan negeri sudah menjalankan kajian persempadanan semula membabitkan 16 pihak berkuasa tempatan (PBT).

Persempadanan semula bagi lapan daerah merangkumi 12 PBT sudah diselesaikan dan dalam proses pewartaan kecuali Johor Baharu dan Kulaijaya.

"Kedua-dua daerah terbabit memerlukan perincian lebih lanjut dan sedang dimuktamadkan terutama dari segi penentuan sempadan fizikal, urusan pentadbiran tanah dan penyelarasan kesan daripada pembangunan yang pesat," katanya.

Sementara itu, semua PBT di Johor kini dalam proses melaksanakan program penswastaan penuh bagi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam secara berperingkat mengikut daerah.

"Majlis Perbandaran Kluang (MPK) adalah PBT ketiga menjalani penswastaan penuh bermula Sept tahun depan yang mana pengurusan sisa pepejal dan pembersihannya akan diambil alih oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA)," katanya.

Menurut beliau, menjelang penswastaan penuh itu, beberapa tindakan awal sudah diambil iaitu mengedarkan 6,222 tong sampah kepada setiap premis dalam kawasan MPK bermula 22 Oktober lalu.

Jadual pengurusan sisa pepejal bagi premis perniagaan adalah setiap hari manakala bagi kediaman jadual pengurusannya adalah tiga kali seminggu. - BERNAMA

Artikel Lain