suria

Yong Mungkin Bermasalah Jalani Hukuman Sebat

Yong Vui Kong
Yong Vui Kong
Yong Vui Kong

PETALING JAYA: Yong Vui Kong, rakyat Malaysia yang terlepas hukuman gantung kerana mengedar dadah di Singapura "gembira kerana masih berpeluang untuk hidup" tetapi bimbang dia mungkin tidak dapat menjalani hukuman sebatan.

Peguamnya M. Ravi berkata hari ini adalah hari yang paling menggembirakan dalam hidup Yong dan menyatakan penghargaan yang besar kepada semua yang bekerja keras untuk menyelamatkan Yong daripada ke tali gantung.

"Yong telah sedar kesilapannya dan telah insaf. Dia gembira mempunyai peluang meneruskan hidupnya," katanya dalam satu kenyataan.

Mahkamah Tinggi Singapura pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 15 kali sebatan terhadap Yong.

Hukuman berkenaan diputuskan ekoran Kerajaan Singapura menukar hukuman mati mandatori dalam kes-kes pengedaran dadah yang membolehkan banduan yang dijatuhi hukuman mati dijatuhkan hukuman yang lebih ringan jika mereka memenuhi syarat-syarat tertentu.

Yong yang pada mulanya dijatuhi hukuman mati pada tahun 2009 kerana mengedar 47gm dadah pada tahun 2007 telah dinilai dan telah memenuhi syarat.

Ravi memberitahu Star Online bahawa Yong, 25, melutut di hadapan hakim dan penyokongnya di mahkamah apabila mendengar keputusan itu.

Peguam itu berkata Yong bagaimanapun bimbang dia mungkin tidak dapat mengambil hukuman sebat itu.

Ravi berkata beliau akan menulis surat kepada Penjara Singapura untuk mengatur doktor bagi memeriksa tahap kecergasan Yong.

"Dia adalah lemah dan tidak kuat. Beratnya kira-kira 50kg dan tingginya 1.77m. Dia kelihatan tidak cukup kuat untuk disebat," kata Ravi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain