suria

Anak Beranak & Adik Beradik Didakwa Simpan 15 Transformer Yang Disamun

Polis membawa tertuduh bersabit kesalahan mencuri transformer.
Polis membawa tertuduh bersabit kesalahan mencuri transformer.
Polis membawa tertuduh bersabit kesalahan mencuri transformer.

KLANG: Seorang bapa dan anak, dua adik beradik dan dua pemandu lori pada Rabu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Klang atas tuduhan bersama-sama menyimpan 15 transformer dan dua buah treler yang disamun bulan lepas.

N.Kuppan, 57, pemilik VK Transport dan anaknya K.Kiruppaharan, 23 seorang pelajar kolej swasta, K. Manirajan, 39, M.Karthigan, 28 dan adiknya M.Saranraj, 24, serta K.Suren, 27 mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan boleh juga didenda.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 8 malam 29 Oktober 2013 di dalam sebuah gudang VK Transport, Lot 11166 Blok 79 Kampung Sungai Rasau, Pulau Meranti, Puchong dengan memiliki 15 transformer dan dua buah treler milik syarikat GS Express Sdn Bhd.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Aida Md Zainuddin tidak menawarkan sebarang jaminan tetapi S.Selvam peguambela kepada Kuppan, Kiruppaharan dan Manirajan serta peguam Gerard Lazarus yang mewakili Karthigan, Saranraj dan Suren memohon kepada mahkamah membenarkan anak-anak guam mereka dijamin.

Selvam memohon kepada mahkamah supaya mengenakan ikat jamin RM5,000 seorang ke atas anak-anak guamnya, sementara Lazarus memohon mahkamah mengambil kira jaminan RM10,000 seorang yang telah dibayar oleh Suren dan dua adik beradik itu Karthigan dan Saranraj yang juga pemandu lori dalam kes yang berkaitan dengan pertuduhan pada hari ini, Khamis lepas.

Karthigan dan Saranraj bersama Suren didakwa bersama dua lagi yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan parang dan melarikan 15 unit transformer dan dua treler di pekarangan syarikat GS Express Sdn Bhd di Jalan Ikan Bawal, Telok Gong, Pandamaran, Klang, pukul 2.15 pagi, 29 Oktober lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Bagaimanapun, Tasnim menetapkan jaminan RM5,000 seorang dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan mereka perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap Sabtu pertama setiap bulan.

Hakim juga mengeluarkan waran tangkap ke atas seorang lagi tertuduh S.Gopal yang sepatutnya didakwa bersama yang lain hari ini kerana gagal hadir ke mahkamah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain