suria

JLKN Perkenal Modul Keselamatan Jalan Raya

KUALA LUMPUR: Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan memperkenalkan satu modul baharu dikenali Keselamatan Jalan Raya pada pertengahan bulan ini bagi memastikan setiap pelatih, sentiasa peka terhadap isu keselamatan.

Ketua Pengarah JLKN Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata modul yang diwujudkan dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) itu akan diperkenalkan pada Siri 3/2013, bermula 15 Ogos depan.

"Untuk permulaan modul itu akan diperkenalkan di 14 pusat latihan iaitu satu pusat latihan di setiap negeri dan pemilihan pusat latihan itu akan ditentukan kemudian," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen Keselamatan Jalan Raya Aidilfitri 2013 oleh Briged Sukarelawaan Khidmat Negara (BSKN) di Plaza Tol Grand Saga Batu 11, Cheras di sini, Ahad.

Beliau berkata antara tujuan modul itu diperkenalkan ialah untuk memberikan kesedaran kepada semua pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) supaya lebih berhati-hati dan mengambil langkah keselamatan sewajarnya semasa berada di jalan raya.

Mengenai kempen itu, Abdul Hadi berkata seramai 420 orang anggota BSK Nmenyertai kempen keselamatan jalan raya yang dilancarkan secara serentak di setiap negeri, sempena Aidilfitri.

"Dalam kempen itu, kami akan mengedarkan risalah memaparkan mesej berkaitan keselamatan kepada penguna jalan raya yang melalui jalan-jalan dimana tempat anggota kempen itu berkumpul," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain