suria

258 Syarikat Dibenar Tunda Pelaksanaan Umur Persaraan Minimum Hingga Akhir Tahun

KUCHING: Kementerian Sumber Manusia meluluskan penundaan pelaksanaan umur persaraan minimum sebanyak 258 syarikat, melibatkan 1,628 pekerja, di seluruh negara sehingga ke 31 Disember tahun ini setelah tempoh permohonan tamat pada 30 April lepas, kata Menterinya Datuk Richard Riot.

Beliau berkata sejumlah 331 majikan dan syarikat, termasuk anak-anak syarikat, telah mengemukakan permohonan kepada kementerian untuk dipertimbangkan penundaan melalui peruntukan di bawah seksyen 18, Akta Umur Persaran Minimum, sehingga tarikh tutup tersebut.

"Bagi menyelesaikan perbezaan pandangan, terutamanya di kalangan majikan dan pekerja, persetujuan diperolehi supaya diberikan tempoh peralihan enam bulan untuk majikan membuat penundaan pada tahun ini selepas akta tersebut mula berkuat kuasa pada 1 Julai 3013," katanya dalam satu kenyataan di sini, Sabtu.

Beliau berkata antara asas pandangan pihak majikan ialah akta itu perlu dilaksanakan secara berperingkat selama lima tahun manakala pihak pekerja mengemukakan pandangan bahawa ianya hendak dilaksanakan segera pada tahun ini.

Akta berkenaan digubal oleh kementerian tersebut berdasarkan prinsip tripartisme di antara majikan, pekerja dan kerajaan melalui perundingan dan perbincangan bagi mendapatkan input dan maklum balas dengan semua pihak yang berkepentingan, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain