suria

PAS Buat Silap Tanding Kerusi DUN Kota Damansara - Khalid Samad

Khalid Samad
Khalid Samad
Khalid Samad

PETALING JAYA: Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad mengakui keputusan parti itu bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara, di sini pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu sehingga menyaksikan pertindihan kerusi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai satu kesilapan.

Beliau berkata, pandangan itu berdasarkan aspek strategi dalam soal pertandingan tiga penjuru di Kota Damansara antara PAS, PKR dan Barisan Nasional (BN) sehingga memberi kesan yang tidak baik.

“Natijahnya (kesan) adalah pertama, kerusi Kota Damansara jatuh kepada BN kerana rakyat yang ingin menolak BN tetapi tindakan PAS itu menyebabkan pengundi-pengundi di Kota Damansara terpaksa menerima BN.

“Kedua, hubungan PKR dan PAS menjadi tegang dengan tersiarnya kenyataan tegur-menegur yang dieksploitasi akhbar. Hubungan di Kota Damansara sendiri sudah pasti rosak dan juga mampu merosakkan PR (Pakatan Rakyat) sehingga ke seluruh negara menyebabkan PKR kehilangan satu kerusi,” katanya menerusi blog beliau, www.khalidsamad.com pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan mengenai pertikaian pertindihan kerusi DUN Kota Damansara antara PAS dan PKR.

Pada PRU-13, 5 Mei lalu, calon BN, Halimaton Saadiah Bohan memenangi kerusi DUN berkenaan dengan 16,387 undi, manakala Mohd Nasir Hashim yang juga Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM) mewakili PKR tewas dengan 14,860 undi dan calon PAS, Ridzuan Ismail dengan 7,312 undi.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, kesan lain ialah hubungan sesama anggota PAS terjejas apabila ahli parti yang tidak setuju dengan tindakan ‘melanggar janji’ oleh PAS Kota Damansara didakwa sebagai pro-PKR atau pro-PSM.

Selain itu katanya, komitmen PAS terhadap Pakatan Rakyat dipersoalkan masyarakat apabila PAS dilihat sanggup memenangkan calon BN di Kota Damansara kerana sanggup memecahkan undi pakatan pembangkang itu di kerusi berkenaan.

“Amat jelas kesemua empat natijah yang dihasilkan adalah tidak baik. Oleh itu, amat jelas juga bahawa (PAS) bertanding di KD (Kota Damansara) tidak berbaloi.

“Sekiranya tindakan sebaliknya diambil pada masa itu (persimpangan untuk membuat pilihan), kesemua natijah buruk insya-Allah dapat dielakkan. Umno (BN) tersungkur di Kota Damansara, hubungan PAS/PKR dan PAS/PAS serta imej PAS tidak terjejas.

“Oleh itu dari sudut strategi ia perlu diakui sebagai satu kesilapan dan ditolak. Apabila diakui sebagai kesilapan dan ditolak, tidak bererti ditolak orang-orang tertentu. Keputusan berhubung strategi itu adalah ijtihad,” kata Khalid.

Artikel Lain