suria

PKR Tolak Tawaran 10 minit Bentang Manifesto di RTM

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Selasa menolak tawaran masa media 10 minit untuk membentangkan manifesto parti politik yang akan bertanding pada pilihan raya umum di Radio Televisyen Malaysia (RTM) seperti yang ditawarkan oleh Kementerian Penerangan,Komunikasi dan Kebudayaan baru-baru ini.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan tawaran yang diberikan oleh Menteri Komunikasi, Penerangan dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim itu sebagai satu sandiwara 'hodoh' oleh pihak yang jahil peranan media dalam amalan demokrasi.

"PKR ingin menyatakan pendirian menolak tawaran masa media 10 minit yang diberikan kepada kami oleh RTM.

"Peranan media dalam sistem demokrasi ialah untuk memberi liputan dan laporan berita yang objektif, adil dan saksama," katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR pada Selasa.

Nik Nazmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia berkata, adalah tidak wajar media diperalatkan sebagai mesin propaganda untuk mamaksa pandangan rakyat terhadap Umno.

"Tawaran masa media 10 minit ini tidak adil kepada kami (pembangkang). Apa yang kita minta adalah laporan media yang lebih adil, 10 minit yang diberikan terlalu sedikit jika dibandingkan dengan masa yang diberikan kepada Barisan Nasional," katanya.

Beliau berkata, apa dituntut oleh Pakatan Rakyat adalah satu perdebatan secara langsung disiarkan di televisyen antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak pernah diendahkan oleh pihak kerajaan.

Artikel Lain