suria

Dividen ASB 5.75 sen seunit, kekal seperti tahun 2024

Agihan pendapatan ASB kekal 5.75 sen. -Gambar hiasan

AMANAH Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan 5.75 sen seunit untuk dana utamanya iaitu Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

Pengagihan pendapatan itu akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2026.

Sehubungan itu transaksi ASB di cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan Internet, akan digantung sementara dari 27 hingga 31 Disember 2025.

Pemegang unit boleh menyambung semula transaksi melalui semua saluran dalam talian dan perbankan Internet bermula 1 Januari 2026 dan di mana-mana cawangan dan ejen ASNB mulai 2 Januari 2026.

Difahamkan, pembayaran akan melibatkan RM10.4 bilion kepada 11.4 juta pemegang unit sekali gus merekodkan jumlah pengagihan tahunan tertinggi yang dibayar sejak penubuhan ASB.

Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif pengagihan pendapatan ASB sebanyak RM206.7 bilion seterusnya mencerminkan ketahanan dan kekuatan portfolio pelaburan ASB.

"Kami menyedari cabaran yang lebih besar iaitu kekurangan simpanan dan keperluan untuk memupuk tabiat menabung yang lebih kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Berikutan itu, kami merancang untuk mempergiatkan usaha literasi kewangan kami, berpandukan matlamat untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, ASB mengekalkan kadar pengagihan dividen pada 2024 dan terus memberikan pulangan mampan yang mengatasi pasaran apabila meningkatkan jurang daya saing berbanding penanda arasnya, iaitu kadar Deposit Tetap 12 Bulan Maybank, yang mencatatkan kadar purata 2.29 peratus kepada 346 mata asas.

Bagi ASNB pula agihan dividen berjumlah RM15.3 bilion dicatatkan pada 2025, iaitu yang tertinggi pernah direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan pengagihan sejak penubuhannya mencecah RM279 bilion.

PNB memaklumkan pencapaian itu mencerminkan trajektori prestasi yang positif dan konsisten merentasi semua 18 dana unit amanahnya, termasuk ASB dan Amanah Saham Malaysia (ASM) bagi dana harga tetap, serta ASN Equity, ASN Imbang dan ASN Sara bagi dana harga berubah-ubah.

Artikel Lain