suria

Penuntut UMS maut terjatuh di Dewan Canselor, tiada unsur jenayah dikesan

Bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca kematian seseorang. -Gambar hiasan

SEORANG penuntut tahun satu Universiti Malaysia Sabah (UMS) ditemui mati selepas dipercayai terjatuh dari tempat tinggi, dalam satu kejadian di Dewan Canselor institusi tersebut, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pihak universiti kira-kira pukul 10 pagi (Khamis) selepas dua pekerja penyelenggaraan menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam dewan berkenaan.

Mangsa yang berusia 23 tahun, kemudian dikejarkan ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 11.10 pagi.

"Pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kecederaan luaran pada tubuh mangsa kecuali kecederaan yang dipercayai berpunca daripada terjatuh," katanya dalam satu kenyataan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar kolej perubatan kritikal selepas jatuh tingkat 7 kondominium

Menurut Kasim, hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) universiti mendapati mangsa dipercayai terjatuh sekitar pukul 6 petang  Rabu.

"Setakat ini tiada saksi awam yang menyaksikan kejadian berkenaan. Namun hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah terlibat," katanya.

Beliau berkata kes berkenaan kini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

Sementara tu dalam satu hantaran di Facebook, UMS menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang dikenal pasti sebagai Aiman Hakim Norazam, penuntut di Fakulti Sains dan Teknologi.

Jabatan Komunikasi Korporat universiti itu turut mengeluarkan kenyataan menggesa orang ramai supaya menghormati privasi keluarga mangsa serta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan.

UMS memaklumkan bahawa sebarang tindakan selanjutnya akan bergantung kepada hasil siasatan insiden berkenaan.

Artikel Lain