suria

Wanita Didakwa Tipu Rakan Lebih RM100,000

KUALA LUMPUR: Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu terhadap pertuduhan menipu seorang rakannya membabitkan lebih RM100,000, sembilan tahun lepas.

Foo Mei Kuan, 51, didakwa menipu Tan Lay Khoon, 51, dengan memperdayakan wanita itu bahawa dia boleh membekalkan peralatan perubatan kepada pesakit sehingga mendorong Tan menyerahkan RM104,500 kepadanya.

Tertuduh, yang ditangkap pada 14 Mac lepas, didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Jalan Kuchai Lama, Kuchai Enterpreneurs Park, Brickfields di sini pada 9 November 2004.

Dia dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Haderiah Siri menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.

Foo, yang tidak diwakili peguam memohon jaminan itu dikurangkan dengan alasan dia tidak bekerja dan hidup seorang diri selepas berpisah dengan suaminya.

"Saya hanya menerima duit daripada Jabatan Kebajikan sebanyak RM300 sebulan dan terpaksa berjumpa doktor pada setiap bulan bagi menjalani pemeriksaan psikiatrik," katanya.

Hakim Murtazadi Amran membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 April ini untuk sebutan kes. -BERNAMA

Artikel Lain