suria

Wanita BN P. Pinang Mahu Kerajaan Siasata Dalang Pencerobohan Lahad Datu

GEORGE TOWN: Wanita Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang mendesak kerajaan persekutuan mempercepat penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dalang di sebalik pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Pengerusinya, Datuk Ng Siew Lai berkata siasatan terhadap dakwaan bahawa ada individu terlibat dalam pencerobohan yang mengorbankan 10 nyawa pasukan keselamatan itu juga wajar dilakukan bagi menjamin keselamatan negara.

"Kita nak tau siapa sebenarnya pengkhianat negara. Dengan adanya suruhanjaya itu nanti, konspirasi jahat ini dapat dibongkar dan dihentikan segera," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau turut mempersoalkan isi kandungan ceramah Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam siri Jelajah Merdeka Rakyat bertarikh 2 Dis 2012 dan 29 Jan 2013 yang menunjukkan beliau seolah-olah mengetahui pencerobohan oleh pengganas Sulu dari selatan Filipina itu akan berlaku.

Terdahulu, pergerakan Wanita BN mengadakan majlis penghormatan kepada wira-wira negara yang terkorban dalam Ops Daulat di Lahad Datu dengan bertafakur sambil memegang bunga mawar putih selama kira-kira 3 minit.

Majlis itu diadakan di pejabat BN negeri di sini dan disertai oleh semua pemimpin wanita parti-parti komponen BN. -BERNAMA

Artikel Lain