suria

Agong Terima Watikah Pelantikan Duta, Pesuruhjaya Tinggi Asing

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menerima watikah pelantikan daripada tujuh duta besar dan pesuruhjaya tinggi asing ke Malaysia di Istana Negara, di sini Isnin.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berangkat ke istiadat itu.

Hadir sama Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Mohd Radzi Abdul Rahman.

Tujuh wakil asing itu ialah Khalid Abdelgadir Shukri dari Sudan, Mame Baba Cisse (Senegal), Zanale Mdluli (Swaziland), Miles Kaweche Banda (Zambia), Ali Hussain Daher (Lubnan), Dr Jamrad Jamshed(Afghanistan) dan Shahid M.G Kiani dari Pakistan.

Khalid Abdelgadir, 50, pernah berkhidmat di kedutaan Sudan di Tripoli, Libya dari 1992 hingga 1996.

Cisse, 44, pula mempunyai pengalaman lebih 18 tahun berkhidmat di Kementerian Luar Senegal.

Beliau menggantikan Babacar Diop sebagai Duta ke Malaysia selama empat tahun bermula November 2012.

Mdluli, 60, merupakan kaunselor di Suruhanjaya Tinggi Swaziland di Pretoria sebelum datang ke Malaysia.

Beliau juga pernah bertugas sebagai pegawai khas kepada perdana menteri Swaziland dari 1985 hingga 1994.

Sementara itu, Banda, 78, berpengalaman sebagai setiausaha agung di beberapa kementerian di Zambia, manakala Ali Hussain, 49, yang berkelulusan sarjana muda dalam bidang falsafah pernah bertugas di Kedutaan Lubnan di Tripoli, Libya dan di Riyadh, Arab Saudi.

Wakil Afghanistan Dr Jamrad, 60, menggantikan Abdul Samad Samad yang tamat tugas sebagai Duta ke Malaysia pada 23 November 2012.

Ini kali pertama beliau dilantik sebagai duta.

Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Shahid, 60, pula sebelum ini merupakan duta ke Vietnam. - BERNAMA

Artikel Lain