suria

Zon Keselamatan Khas Sabah Bantu Kekang Aktiviti Seludup Barangan

PUTRAJAYA: Pembentukan zon keselamatan di Sabah, secara tidak langsung dapat membantu mengekang penyeludupan barangan bersubsidi, di kawasan timur negeri itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana terdapat kes-kes penyeludupan dikesan berlaku di kawasan terbabit.

"Ia memberi manfaat juga kepada kementerian, kerana kawasan pantai timur Sabah antara lokasi penyeludupan barang seperti gas dan minyak ke negara seberang," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Pada 25 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pewujudan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) meliputi 10 kawasan iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Selepas ini, beliau berkata, mereka yang terbabit dalam penyeludupan barang lebih takut serta sukar untuk menjalankan aktiviti penyeludupan.

"Dari segi peniaga di dalam zon keselamatan, saya percaya tidak timbul masalah kerana ia berbeza dengan perintah berkurung, cuma terdapat masalah dari segi tangkapan ikan membuatkan harga ikan naik sedikit," katanya.

Ismail Sabri berkata, berhubung bekalan barangan keperluan makanan yang lain, setakat ini tiada masalah dilaporkan dan kementerian sentiasa memantau mengenai perkara tersebut.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan berjumlah RM228,794.90 sen untuk diserahkan kepada balu dan waris anggota keselamatan yang terkorban serta cedera dalam insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.

Beliau berkata, kesemua hasil kutipan itu akan disalurkan terus kepada balu dan waris mangsa, selepas perbincangan dibuat dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Pihak kementerian akan berbincang untuk menentukan jumlah yang sesuai untuk diberikan kepada semua mangsa kemudian kita akan serahkan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain