suria

Aston Martin Lancar Model DB9 Sempena Sambutan 100 Tahun

Kereta mewah model DB9 dijual di negara ini pada harga bermula RM1.7 juta. -fotoTHESTAR SAM THAM
Kereta mewah model DB9 dijual di negara ini pada harga bermula RM1.7 juta. -fotoTHESTAR SAM THAM
Kereta mewah model DB9 dijual di negara ini pada harga bermula RM1.7 juta. -fotoTHESTAR SAM THAM

PETALING JAYA: Bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-100, jenama kereta sport mewah terkemuka antarabangsa, Aston Martin melancarkan model DB9 di negara ini pada harga bermula RM1.7 juta.

Pengarah Eksekutif Aston Martin Kuala Lumpur, Nazrul Mohtar bagaimanapun berkata, masih terlalu awal untuk menyasarkan jualan DB9 kerana jenama Aston Martin yang bermula pada tahun 1913 itu baru sahaja dilancarkan di Malaysia pada Julai tahun lalu.

"Fokus kami adalah mendedahkannya kepada pelanggan dan peminat mengenai pasaran kereta ini menerusi pengalaman jenama.

"Kami mahu memberikan pengalaman unik kepada mereka apabila memasuki bilik pameran kami dengan menetapkan kereta berdasarkan keperluan mereka. Dan kami mahu membinanya secara kukuh," katanya pada sidang media selepas melancarkan Aston Martin DB9 di sini, Selasa.

Turut hadir ialah Pengurus Besar Pembangunan Rangkaian Aston Martin Lagonda, Maria Plunkett.

Nazrul berkata, pada masa ini terdapat kira-kira 150 pemilik Aston Martin di negara ini.

Mengenai sambutan ulang tahun Aston Martin ke-100, Nazrul berkata, jenama itu memperkenalkan edisi terhad yang akan mengeluarkan hanya 100 unit bagi setiap model untuk pasaran seluruh dunia.

"Ia (edisi terhad) akan mempunyai skim warna yang unik di bahagian luarnya.

"Memandang ia adalah terhad untuk pasaran seluruh dunia, maka siapa cepat dia akan dapat, semuanya berdasarkan permintaan," katanya.

Beliau menambah, antara model-model bagi edisi terhad itu ialah V8 Vantage, Rapide dan Vanquish termasuk DB9.

"Kini sudah ada tempahan untuk model DB9. Dan kami akan memperkenalkan (model) Vanquish tidak lama lagi," katanya.

Model Aston Martin DB9 yang baru dilengkapi dengan enjin AM11 V12 yang bukan sahaja memberikan penambahbaikan kepada prestasi tetapi pengurangan karbon dioksida berbanding dengan enjin-enjin lain.

Bersesuaian dengan jenama mewah Aston Martin, kuasa puncak DB9 meningkat 40bhp kepada 510bhp daripada 470bhp sebelum ini.

Aston Martin Kuala Lumpur membuka pusat pamerannya yang pertama di negara ini di Petaling Jaya, Selangor, yang turut menawarkan perkhidmatan jualan, alat ganti dan penyelenggaraan (3S).

Artikel Lain