suria

14 Kereta Mewah Rosak Dalam Kebakaran Gudang

BUTTERWORTH: Sebuah syarikat kereta kerugian hampir RM1 juta apabila 14 buah kereta mewah yang disimpan dalam sebuah gudang di Maklom, di sini rosak teruk selepas gudang itu terbakar pada Isnin.

Beberapa buah kereta jenis Lexus, Honda, Toyota dan Mercedes Benz milik syarikat S.Y. Motorsports Sdn Bhd itu tidak sempat dialihkan ketika api menyambar gudang yang terletak bersebelahan dengan gudang penyimpanan kotak dan kertas di situ.

Ketua Bomba dan Penyelamat Seberang Perai Utara, Mohd Rapit Rosandin berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 10.15 pagi dan tiba di lokasi 16 minit kemudian. "Api berjaya dikawal pada pukul 10.59 pagi dengan bantuan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai, kepala Batas dan Butterworth. Selain itu, kita turut mendapat bantuan daripada 63 orang anggota bomba sukarela dan api dipercayai berpunca daripada pusat pengumpulan kotak dan kertas sebelum merebak ke gudang kereta itu," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Isnin.

Katanya punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. Sementara itu, seorang pekerja yang hanya ingin dikenali sebagai Zabedah berkata ketika kejadian dia sedang menyelia lapan pekerjanya memunggah dan menyusun kotak. "Kilang kami bersambung dengan kilang membuat cenderahati dan selepas terdengar jeritan 'api-api' berulang kali dari kilang berkenaan saya mengarahkan semua pekerja keluar menyelamatkan diri. "Dalam masa sama 10 pekerja kilang cenderahati itu turut bergegas keluar menyelematkan diri sebelum api marak membakar," katanya yang bersyukur kerana mereka semua selamat.

Katanya orang ramai yang datang melihat kebakaran itu turut membantu mengalihkan kereta yang berada dalam gudang terbuka yang terletak berhampiran gudang yang terbakar itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain