suria

Zahid Sangkal Laporan UK International Transparency

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyangkal indeks laporan dikeluarkan United Kingdom International Transparency yang meletakkan Malaysia di kedudukan 'D-' dalam soal polisi kerajaan menangani penyelewengan dan amalan rasuah dalam sektor pertahanan.

Beliau berkata laporan kajian dikeluarkan UK International Transparency itu ternyata berat sebelah apabila mereka sendiri yang menentukan standard kajian yang dijalankan sejak dari awal.

"Itu pandangan mereka (laporan kajian) sendiri, tidak semestinya benar. Itu persepsi mereka (UK International Transparency) kerana mereka yang menentukan standard itu (kajian) dari awal lagi.

"Dan jika anda belajar metodologi penyelidikan, ini merupakan kaedah penyelidikan yang berat sebelah," katanya pada sidang media selepas melancarkan program 1ACP dan laman portal kerjaya WWW.Kerjayaveteran.my, di sini, Selasa.

Sehubungan itu, beliau berkata kementeriannya akan mengeluarkan satu kenyataan bagi menyanggah apa yang dilaporkan oleh UK International Transparency.

"Saya dimaklumkan Singapura turut diimejkan negatif dalam soal polisi kerajaan dalam menangani penyelewengan dan amalan rasuah dalam sektor pertahanan, tetapi kerajaan Singapura telah mengeluarkan kenyataan bagi menjawab laporan itu," katanya.

Ahmad Zahid berkata sebelum ini UK International Transparency telah meminta Kementerian Pertahanan mengeluarkan komen dan memberikan maklum balas terhadap laporan yang akan dikeluarkan dan Kementerian Pertahanan telah memberikan beberapa kenyataan bagi menyangkal laporan kajian tersebut.

"Seperti yang kita sedia maklum, negara tidak mengizinkan sebarang bentuk penyelewengan mahupun corruption...jadi apabila saya melihat laporan itu sebelum ia dikeluarkan, saya telah memberi komen terhadap laporan itu, tetapi berdasarkan pengalaman lepas kita, walaupun kita memberikan komen dan jawapan sebaliknya mereka tetap menulis dan mengeluarkan laporan itu juga," katanya.

Pada 29 Januari lepas UK International Transparency telah mengeluarkan indeks laporan polisi sesebuah kerajaan dalam menangani penyelewengan dan amalan rasuah dalam sektor pertahanan dan meletakkan Malaysia di kedudukan 'D-' dalam indeks yang dikeluarkan.

United Kingdom International Transparency telah menggariskan tujuh standard indeks laporan yang dikeluarkan mereka iaitu "A, B, C, D+, D-, E dan F" yang mana negara Australia dan Jerman berada di standard indeks A manakala Algeria, Angola, Yaman, Mesir, Syria, Cameroon, Libya dan Republik Kongo berada di standard indeks F. BERNAMA

Artikel Lain