DUA jam bagaikan tidak puas untuk menyaksikan konsert Exists Premium yang berlangsung di Jiospace, Petaling Jaya, Selangor pada malam Sabtu.
Menyampaikan lagu-lagu popular yang kekal malar segar, Exists berjaya mencipta satu lagi kenangan indah buat kira-kira 1,000 peminat yang hadir.
Meskipun vokalisnya, Ezad Lazim dikatakan kurang sihat namun tidak sedikitpun mencacatkan persembahan pada malam berkenaan.

Ezad mesra melayan peminat.
“Hari ini Ezad tidak sihat, tetapi kerana anda semua, semangat dia datang semula.
“Melihat peminat datang, dia melawan sakit itu,” kata Ajai selaku pemain keyboard ketika menyapa penonton yang hadir.
Pentas dibuka dengan persembahan instrumental oleh Ajai, Along (gitar), Musa (bes) dan Ujang (drama) dengan gabungan lagu-lagu popular mereka.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiga suara, satu emosi... Rizky Febian, Fabio Asher dan Anggi Marito hiburkan 4,000 peminat di Kuala Lumpur
ARTIKEL BERKAITAN: Eksklusif buat peminat Malaysia, Afgan pertama kali ‘belanja’ semua lagu Retrospektif... Tampil persembahan penuh emosi
Ezad kemudian tampil memulakan nyanyian dengan lagu yang cukup popular berjudul Mama Tolonglah Percaya.
Membawakan 21 buah lagu sepanjang konsert, Exists turut mempersembahkan karya-karya yang jarang didengar seperti Menantikan Saat Termampu dan Kau Lebih Dari Kejora.
Antara momen manis tentunya ketika Ezad turun ke bawah pentas dan menyapa peminat sambil menyanyi.

Exists memberikan persembahan yang cukup bertenaga.
Acara itu kemudian disambung dengan lagu-lagu popular mereka seperti Percayakan Siti, Seperti Dulu dan Julia.
Menutup persembahan Exists tampil dengan lagu yang membuat semua orang berdiri dan menyanyi sama seperti Rahsia Pohon Cemara, Mengintai Dari Tirai Kamar dan Alasanmu.
Istimewa juga pada malam berkenaan, dua peminat bertuah membawa pulang hadiah cabutan bertuah berupa satu set dram serta gitar.
Difahamkan gitar tersebut merupakan koleksi peribadi Along sendiri.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


