GABUNGAN tiga penyanyi popular dari Indonesia, Rizky Febian, Fabio Asher dan Anggi Marito berjaya mencipta malam penuh emosi menerusi Konsert Malam 3 Suara yang berlangsung meriah di Idea Live Arena, Kuala Lumpur pada malam Ahad.
Konsert yang menghimpunkan kira-kira 4,000 penonton itu menyaksikan suasana arena dipenuhi sorakan, nyanyian bersama serta luahan perasaan daripada peminat yang hadir untuk menyaksikan sendiri kehebatan vokal tiga figura itu secara langsung.
Menariknya, konsert itu disusun dengan konsep persembahan bergilir-gilir, memberi ruang kepada setiap artis untuk menonjolkan kekuatan vokal dan gaya tersendiri.

Dari kiri: Rizky, Anggi dan Fabio menghiburkan 4,000 peminat di Kuala Lumpur.
Sebanyak 23 buah lagu dipersembahkan sepanjang malam, merangkumi karya hit yang cukup dekat di hati peminat Malaysia.
Antara lagu-lagu yang dibawa termasuk Hingga Tua Bersama, Bertahan Luka, Kisah Penuh Kecewa, Alamak, Rumah Singgah, Tak Segampang Itu dan Berharap Kau Kembali.
Lebih istimewa, ketiga-tiga artis itu mencuri perhatian apabila tampil dengan segmen istimewa bertukar-tukar lagu, menyaksikan Anggi Marito menyanyikan lagu Fabio Asher, sementara Fabio membawakan lagu Rizky Febian, manakala Rizky pula menghidupkan lagu Anggi, sekali gus memberi dimensi baharu kepada karya-karya tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Rizky Febian teruja kembali bertemu peminat Malaysia, kongsi pentas bersama Fabio Asher dan Anggi Marito
ARTIKEL BERKAITAN: Andmesh kembali ke Malaysia, janji kejutan istimewa di konsert ‘Love Story: Suara Dari Ketulusan Hati’
Rizky Febian tampil dengan aura tenang namun penuh penghayatan, Fabio Asher pula berjaya mencengkam emosi menerusi vokal balada yang menyentuh jiwa, manakala Anggi Marito memberi warna segar dengan persembahan penuh perasaan dan kawalan suara yang kemas.
Antara momen paling menyentuh adalah ketika Rizky Febian berkongsi perasaan terhadap sokongan berterusan peminat Malaysia yang disifatkannya sebagai sebahagian daripada perjalanan hidup dan kerjayanya.
"Malaysia sudah menjadi rumah kedua, setiap karya saya dinikmati semua peminat di Malaysia. Daripada lagu Kesempurnaan Cinta sehinggalah lagu Alamak, peminat selalu beri energi positif.

Persembahan Anggi (kiri), Fabio dan Rizky (kanan) berjaya memukau penonton.
"Terima kasih kerana menerima kedatangan saya dari Indonesia. Malaysia tetap menjadi sejarah buat saya, daripada solo sampai ada isteri dan sekarang sudah ada anak.
"Doa saya agar dapat sentiasa berkarya dengan hal-hal positif," katanya.
Secara keseluruhan, Konsert Malam 3 Suara bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah perayaan muzik yang menyatukan emosi, memori dan hubungan antara Malaysia dan Indonesia terus terjalin erat melalui karya seni.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


