PENYANYI dari Indonesia, Andmesh Kamaleng sekali lagi bakal mengusik jiwa peminat Malaysia apabila kembali dengan sebuah konsert penuh emosi berjudul ANDMESH Love Story: Suara Dari Ketulusan Hati di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 14 Februari depan.
Dianjurkan oleh DTC Entertainment Sdn Bhd, konsert tersebut dijangka menjadi antara persembahan paling dinantikan, seiring populariti Andmesh yang terus melonjak selepas meraih pelbagai anugerah di negaranya serta kejayaan lagu-lagunya mendominasi carta serantau.
Sejak muncul sebagai juara Rising Star Indonesia pada 2017, nama Andmesh semakin kukuh sebagai antara vokalis paling berpengaruh.

Andmesh bakal mengadakan konsert di Malaysia pada 14 Februari tahun depan.
Karya-karyanya bukan sahaja meraih jutaan penstriman, malah sering tular di Malaysia, Singapura, Brunei dan beberapa negara Asia lain.
Antara hits terbesar yang mengukuhkan namanya termasuk Cinta Luar Biasa yang melebihi ratusan juta tontonan di YouTube dan menjadi salah satu lagu cinta paling ikonik di rantau ini.
Selain itu, lagu Hanya Rindu iaitu karya penuh emosi yang menerima anugerah dalam kategori Best Pop Solo Performance di Indonesia.
Konsert solonya yang terdahulu di Kuala Lumpur mendapat sambutan luar biasa, dengan ramai peminat memuji kualiti vokal Andmesh yang dianggap ‘tak pernah mengecewakan’.
ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi ‘Hanya Rindu’ Andmesh Kamaleng pernah hidup sukar… cari nafkah untuk keluarga sejak usia 17 tahun
ARTIKEL BERKAITAN: Impian Andmesh Kamaleng hibur peminat di Malaysia tercapai, tampil konsert tema cinta
Peminat Malaysia juga terkenal sebagai antara komuniti yang paling aktif menyokong muzik Andmesh hingga menjadikan Malaysia sebagai destinasi penting dalam perjalanan seninya.
Mengulas mengenai penganjuran konsert kali ini, Andmesh menyatakan rasa teruja untuk kembali menyapa peminat Malaysia.
"Malaysia selalu punya tempat istimewa di hati saya. Energi dari penonton di sini selalu luar biasa.

Tiket konsert Andmesh sudah mula dijual.
"Konsert Suara Dari Ketulusan Hati ini sangat personal kerana ia membawa perjalanan muzik saya sejak awal hingga sekarang. Saya ingin peminat merasai setiap cerita di balik lagu-lagu saya,” katanya.
Pada masa sama, Andmesh turut menjanjikan susunan muzik yang lebih segar serta kejutan istimewa yang hanya akan dipersembahkan di Malaysia.
Tiket ANDMESH Love Story: Suara Dari Ketulusan Hati boleh dibeli melalui www.ticket2u.com dengan harga bermula RM238 sehingga RM1,088.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


