suria

Impian Andmesh Kamaleng hibur peminat di Malaysia tercapai, tampil konsert tema cinta

Andmesh sudah lakukan persiapan untuk bertemu peminat di Malaysia.

SETELAH lama menyimpan hasrat untuk mengadakan konsert di Malaysia, penyanyi Andmesh Kamaleng bakal bertemu peminat di Kuala Lumpur pada bulan Jun nanti.

Andmesh atau Jeandmesh Antonio Kamaleng, 25, berkata, dia membawakan tema cinta bersempena konsert sulungnya di negara ini.

“Tidak sabar rasanya hendak menghiburkan peminat di Malaysia pada bulan Jun ini dalam sebuah konsert istimewa yang bertemakan cinta.

"Ini merupakan konsert pertama saya di Malaysia dan sudah lama saya idamkan untuk membuat persembahan di sana,” katanya.

Andmesh teruja bertemu peminat di Malaysia.

Teruja dengan konsert sulungnya di Malaysia, Andmesh juga memberitahu bahawa segala persiapan telah dilakukan dengan baik.

Malah dia turut membawa beberapa pemuzik profesional dari Indonesia bagi memberi kesan yang mendalam dalam persembahanya pada malam itu nanti.

“Sesungguhnya ini merupakan impian saya dari dahulu lagi untuk menghiburkan peminat di Malaysia, saya sudah persiapkan ‘team’ yang rapi agar semuanya berjalan dengan lancar.

ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi ‘Hanya Rindu’ Andmesh Kamaleng pernah hidup sukar... cari nafkah untuk keluarga sejak usia 17 tahun

ARTIKEL BERKAITAN: Inteam rakam semula ‘Kasihku Abadi’, tampil Ezad Lazim beri nafas baharu

“Seramai enam orang pemuzik profesional dari Indonesia bakal mengiringi saya ketika konsert itu nanti yang dijangkakan berlangsung selama dua jam dengan kurang lebih 15 buah lagu dipersembahkan.

“Konsep konsertnya nanti bertemakan cinta, saya mahu kesemua penonton konsert yang hadir merasakan ‘cinta’ melalui muzik, lirik dan nada yang saya bawakan," katanya lagi.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Cinta Luar Biasa itu juga berharap agar konsert pertamanya ini akan memberi satu kepuasan dan kejutan istimewa buat para peminatnya yang hadir pada malam itu.

338053481_170406362540788_6698670101565009390_n

Harga tiket konsert dan buah tangan untuk peminat.

“Istimewanya pada konsert itu nanti, susunan muziknya juga akan mengalami perubahan, khas untuk peminat-peminat di Malaysia, jadi rugi bagi siapa tidak menghadirkan diri.

"Pastinya ada juga kejutan yang dipersembahkan nanti dan kalau hendak tahu kenalah beli tiket konsert nanti.

“Saya berharap agar pengunjung konsert terkesan dengan lagu-lagu yang saya persembahkan, merasakan cinta dengan karya-karya saya, dan pulang ke rumah dengan memori yang indah," ujarnya.

Tiket konsert yang bakal diadakan di Plenary Hall Convention Center Kuala Lumpur (KLCC) pada Jun nanti itu akan mula dijual pada 30 Mac ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain