suria

Inteam rakam semula ‘Kasihku Abadi’, tampil Ezad Lazim beri nafas baharu

Inteam muncul lagu duet bersama Ezad Lazim.

SEMPENA kedatangan Ramadan tahun ini, kumpulan nasyid Inteam menampilkan penyanyi Ezad Lazim bergabung dalam single terbaharu berjudul Kasihku Abadi 2023.

Menurut ahli kumpulan Inteam iaitu Syah atau Mohd Syahril Abdul Khalid, 43, Kasihku Abadi merupakan lagu yang pernah dipopularkan oleh mereka pada 2004 dan dirakam semula dengan konsep muzik berbeza.

"Kasihku Abadi merupakan lagu kami yang pernah popular pada tahun 2004 yang mana kami rakamkan semula dengan konsep muzik yang agak berbeza serta menampilkan Ezad dalam versi Kasihku Abadi 2023 ini.

"Kalau versi sebelum ini lebih berkonsepkan muzik pop balada, kali ini kami cuba memasukkan unsur-unsur pengaruh muzik Arab dan Turkiye dalam kolaborasi ini," katanya.

inteam1 - 1

Gabungan Inteam dan Ezad menerima sambutan baik daripada peminat.

Dalam pada itu, penghasilan muzik video bagi lagu ini juga diangkat daripada kisah inspirasi perkahwinan Haziq Samrat bersama isterinya Miera yang tular di media sosial baru-baru ini.

Kata Rahim yang juga ahli kumpulan Inteam, lagu ini mendapat respon positif daripada peminat, tambah pula dengan gabungan bersama Ezad.

"Kisah perkahwinan mereka sangat sesuai dengan lirik lagu ini yang menggambarkan setiap insan mendambakan kehadiran pasangan yang akan melengkapi hidup, serta menjadi fitrah manusia ingin berkasih sayang dan berpasang-pasangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Buat 'show' bersama, peminat mahu Suhaimi Saad kembali sertai Inteam... "Tak sesuai bayar murah, bumi pun lain-lain"

ARTIKEL BERKAITAN: Berita palsu sudah meninggal dunia buat Ezad Lazim kesal, penat jawab panggilan perjelas keadaan sebenar

"Alhamdulillah, respon peminat sangat baik dan ramai mengatakan gabungan suara Inteam dan Ezad Lazim dalam lagu ini sangat serasi.

"Dari komen yang kami baca juga, ramai yang tersentuh hati dan menitiskan air mata melihat kisah yang dipaparkan di dalam muzik video lagu ini," ujarnya.

Ditanya mengapa memilih Ezad Lazim untuk duet kali ini, Inteam memberitahu bahawa keserasian mereka mula terjalin sejak berduet secara langsung di Konsert 20 tahun Inteam.

"Sebenarnya sebelum ini kami pernah berduet secara live menyanyikan lagu Bunga bersama Ezad Lazim dan Exists di dalam Konsert 20 tahun Inteam.

inteam2 - 1

Keserasian Ezad bersama kumpulan nasyid itu mula terjalin dalam Konsert 20 tahun Inteam.

"Melihat kepada keserasian gabungan tersebut, kami telah menawarkan Ezad untuk berduet dalam lagu Kasihku Abadi 2023 ini. Alhamdulillah beliau menerima dan memberi komitmen yang sangat baik sekali" kata wakil kumpulan nasyid itu.

Kasihku Abadi 2023 telah dilancarkan pada 17 Mac yang lalu dan kini sudah berada di seluruh pelantar digital.

Lagu ini merupakan gubahan Munif Ahmad dari kumpulan Hijjaz manakala lirik adalah hasil karya penulis lirik prolifik Lukhman S.

Susunan muzik pula adalah hasil kreativiti Alfa Booty Kesuma dan Wan Saleh.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Inteam, Ezad Lazim, Lagu duet, Ramadan, Hiburan

Artikel Lain