suria

Pertama kali puasa, Daniel Fong bersemangat sahut cabaran selepas dapat sokongan Soo Wincci dan Ruhainies

Daniel mahu cuba berpuasa tahun ini.

SELEPAS menerima sokongan daripada rakan artis, pelakon Daniel Fong berkata dia berhasrat untuk menyahut cabaran berpuasa di bulan Ramadan tahun ini.

Mengakui tidak pernah berpuasa sebelum ini, Daniel atau nama sebenarnya Daniel Fong Weng Chuan, 30, memberitahu dia sudah bersedia untuk mencabar keupayaan diri selepas pulang bercuti minggu hadapan.

"Saya nak cuba berpuasa. Saya tidak pernah puasa tetapi akan cuba untuk berpuasa pada minggu kedua kerana minggu pertama puasa saya bercuti ke Jepun bersama keluarga.

daniel2 - 1

Daniel mendapat sokongan rakan artis untuk berpuasa.

"Selepas saya pulang nanti, saya memang ada merancang untuk berpuasa," katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Daniel memberitahu dia menerima sokongan moral daripada rakan artis iaitu Dr Soo Wincci dan Ruhainies untuk merasai sendiri nikmat berpuasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahu nama lebih dikenali, Daniel Fong sedia bawa apa sahaja watak dalam drama Melayu... "Harap penonton dapat nilai bakat saya"

Kata pelakon drama Puteri Legenda Kasih itu, tidak salah sekiranya dia mendalami budaya agama lain dan berharap agar masyarakat di Malaysia menghormati kepercayaan yang dianuti oleh pelbagai bangsa.

"Kawan saya sering memberikan motivasi untuk cuba berpuasa. Dr Soo Wincci juga ada memberitahu saya yang dia berpuasa setiap tahun. Dia juga menggalakkan saya untuk cuba berpuasa.

Saya tidak pernah puasa tetapi akan cuba untuk berpuasa pada minggu kedua kerana minggu pertama puasa saya bercuti ke Jepun bersama keluarga.

DANIEL FONG

PELAKON

"Malah, Ruhainies pun ada suruh saya cuba. Saya tidak akan tahu tentang budaya agama lain selagi tidak mencuba sendiri.

"Kalau saya boleh buat, saya harap orang lain pun akan cuba untuk faham budaya kami iaitu Buddha," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Daniel berkongsi keterujaan apabila diberi kepercayaan menggalas watak utama dalam drama berbahasa Melayu yang berjudul Bintang.

Daniel bagaimanapun memberitahu dia berdepan dengan beberapa kekangan terutamanya mengenai bahasa kerana tidak begitu fasih berbahasa Melayu.

"Saya tidak sangka dapat memegang watak hero dalam drama Melayu. Saya mula dengan drama TV3 pada tahun lalu, tapi sekarang tak sangka pula dapat jadi hero.

daniel1 - 1

Daniel berlakon bersama Ruhainies dalam drama Bintang.

"Saya rasa cabaran pertama saya adalah daripada segi bahasa. Bila kita selesa menggunakan bahasa itu, kita lebih mudah untuk memberikan penghayatan watak.

"Pada mulanya saya rasa sangat terhad kerana tidak bebas untuk berkarya, tapi lama kelamaan saya banyak belajar daripada pelakon di set penggambaran dan semuanya jadi lebih mudah," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain