suria

Mahu nama lebih dikenali, Daniel Fong sedia bawa apa sahaja watak dalam drama Melayu... “Harap penonton dapat nilai bakat saya”

Daniel teruja diberi kepercyaan menjadi hero drama.

MENGAKUI bukan mudah untuk mendapat tempat dalam kalangan peminat drama berbahasa Melayu, pelakon Daniel Fong bagaimanapun kini boleh tersenyum bangga apabila mula diberi kepercayaan menggalas watak utama.

Percaya usaha kecil pastinya membuahkan hasil, pemilik nama sebenar Daniel Fong Weng Chuan, 29, berharap peluang diberi ini menjadi batu loncatan untuk namanya terus dikenali.

"Perlahan-lahan daripada watak kecil dan pembantu, kini saya diberi peluang untuk memegang watak utama dalam drama bersiri. Tidak mudah untuk menjadi pelakon, tambahan saya adalah pelakon berbangsa Cina yang bekerja dalam pasaran Melayu.

daniel fong 2

Daniel tak sabar tunggu respon peminat.

"Untuk kekal bersaing saya cuba memperbaiki diri dengan menghadiri kelas lakonan dan sentiasa belajar ketika di set penggambaran daripada rakan pelakon lain," katanya kepada mStar.

Tambah Daniel, penantian selama lima tahun dalam dunia seni juga berbaloi apabila bakatnya mula dipandang oleh syarikat produksi dan ditawarkan berlakon dalam drama terbaharu berjudul Bintang.

Meskipun ini bukanlah percubaan pertama berlakon dalam drama Melayu, Daniel tetap teruja dan tidak sabar menantikan respon peminat apabila ia mula ditayangkan kelak.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahu buang stereotaip, Sanjna Suri sedia pakai tudung bawa watak wanita Muslim

ARTIKEL BERKAITAN: Tangki oksigen gagal berfungsi, bekas Miss Grand Malaysia 2022 Vivienna Alfred cemas sukar bernafas di dasar laut

"Untuk drama bersiri dalam bahasa Melayu, ini adalah kali pertama saya diberikan peranan sebagai watak utama. Memanglah saya amat teruja kerana setiap episod memberi cabaran berbeza buat saya.

"Saya harap drama ini akan diterima baik dalam kalangan penonton nanti. Bukan sekadar mahu menjayakan watak sahaja, saya harap penonton dapat menilai bakat sebenar saya sebagai seorang pelakon," ujarnya.

Untuk kekal bersaing saya cuba memperbaiki diri dengan menghadiri kelas lakonan dan sentiasa belajar ketika di set penggambaran daripada rakan pelakon lain

DANIEL FONG

PELAKON

Drama Bintang yang bakal menjalani penggambaran tidak lama lagi merupakan karya terbitan Country & Universal.

Selain Daniel, drama ini turut menampilkan Ruhainies sebagai watak utama dan ia dijangka akan ditayangkan sempena Ramadan tahun hadapan.

Bercakap tentang harapan sebagai seorang anak seni, Daniel terbuka untuk menerima pelbagai cabaran watak supaya dia dapat membuktikan kemampuan sebenar.

daniel fong 3

Mahu kekal relevan, Daniel sedia galas pelbagai cabaran.

Dalam pada itu, dia juga bersetuju bahawa untuk menjadi seorang pelakon bukanlah sekadar paparan watak dalam lakonan sebaliknya karya yang hebat juga amat penting untuk memikat hati penonton.

"Bagi meneruskan kelangsungan karier lakonan, saya perlu ada naskhah yang bagus dan Bintang antara karya yang sangat menarik.

"Saya sedia diberikan pelbagai cabaran dalam dunia lakonan supaya orang boleh kenal nama Daniel Fong. Biarlah watak yang saya mainkan itu dapat memberi kesan kepada penonton," jelasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain