SUAMI kepada pelakon dan penyampai radio Neera Azizi iaitu Muhammad Hafizi Mohd Noor digantung tugas sebagai mutawif selama enam bulan susulan penularan video sambutan ‘gender reveal’ yang dilakukan di depan Kaabah.
Agensi umrah yang diwakili Hafizi, In Saff Travel & Tours Sdn. Bhd., memaklumkan tindakan tersebut diambil selepas siasatan dalaman dijalankan berhubung isu berkenaan.
“Susulan pelanggaran tersebut, pihak pengurusan mengambil keputusan menggantung individu terbabit daripada berkhidmat selama enam bulan berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

Kenyataan media agensi umrah yang dikongsikan di media sosial mereka.
Sepanjang tempoh penggantungan itu, Hafizi, 26, tidak dibenarkan terlibat dalam sebarang tugasan operasi termasuk membimbing jemaah ke Tanah Suci.
Selain itu, Hafizi turut dikenakan tindakan tatatertib dalaman termasuk surat amaran rasmi, manakala sebarang pertimbangan pelantikan semula hanya akan dibuat tertakluk kepada pematuhan penuh terhadap garis panduan syarikat.
“Kami memandang serius sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan kesucian ibadah di Tanah Suci, etika serta imej syarikat dan perkara sebegini tidak akan dikompromi,” jelasnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Video ‘gender reveal’ depan Kaabah kena kecam, Neera Azizi tampil mohon maaf
ARTIKEL BERKAITAN: “Awalnya mengandung?” – Neera Azizi pernah rasa tak sedia, anggap rezeki anak datang tepat pada masanya
Sebelum ini, video pasangan tersebut yang meraikan jantina bayi mereka di hadapan Baitullah mengundang kecaman netizen hingga ada menyifatkan tindakan itu sebagai tidak menghormati kesucian tempat ibadah umat Islam.
Susulan reaksi negatif yang diterima, video asal yang dimuat naik telah dipadamkan oleh Neera daripada Instagram selepas timbulnya pelbagai reaksi daripada netizen.
Untuk rekod, Neera mendirikan rumah tangga dengan Hafizi pada 11 Julai lalu.
Pasangan ini dijangka menerima cahaya mata perempuan pada April tahun depan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


