suria

Tunang meninggal 8 jam sebelum akad nikah, wanita pilu kenang janji arwah - “Betul-betul jumpa jam 10, tapi di forensik”

Setiap yang hidup pasti akan merasai kematian. -Gambar hiasan

BENARLAH ungkapan rezeki, jodoh dan ajal itu di tangan Allah dan tiada siapa pun mampu mengubahnya

Dalam satu hantaran penuh menyentuh hati di Threads, seorang wanita berkongsi kisah tunangnya yang meninggal dunia secara mengejut, hanya lapan jam sebelum mereka diijabkabulkan.

Menurut wanita yang menggunakan akaun @tiyyy771, bakal suaminya menghembuskan nafas terakhir di dalam tidur, awal pagi Jumaat.

Perkongsian @tiyyy771 benar-benar menyentuh hati warga maya.

"Lapan jam sebelum akad nikah semalam, bakal suami saya iaitu tunang, Mohamad Faiz bin Md rozi telah menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul lebih kurang 2.00 pagi semalam (Jumaat). 

"Meninggal semasa tidur. Dan sudah sampai masa dia bertemu Pencipta. Saya mohon semua yang membaca ni, sedekahkan al-Fatihah untuk arwah.

Terima kasih," tulisnya dalam hantaran pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bini merajuk enggan buka pintu rumah, suami tidur dalam kereta ditemukan maut! Pemuda nasihat isteri hargai penat pasangan

ARTIKEL BERKAITAN: Lepas suami meninggal, keluarga mentua minta faraid bahagian kereta milik menantu... Bagi alasan arwah bayar deposit

Wanita tersebut bagaimanapun tidak menyatakan lebih lanjut mengenai punca kematian arwah tunangnya itu.

Lebih memilukan ujarnya, pertemuan mereka yang sepatutnya berlangsung pada pukul 10 pagi untuk disatukan secara sah, rupa-rupanya terjadi dalam situasi yang berbeza.

"Arwah janji nak jumpa 10 pagi. Betul-betul kami jumpa tapi dekat forensik. Dia tunaikan janji dia. Jenazah arwah senyum," tulisnya lagi sambil menambah, majlis perkahwinan mereka dijadualkan berlangsung pada 25 Disember depan.

  • Seorang wanita berkongsi kisah pilu apabila tunangnya meninggal dunia lapan jam sebelum akad nikah.

  • Bakal suaminya menghembuskan nafas terakhir ketika tidur pada awal pagi Jumaat.

  • Majlis akad nikah yang dijadualkan pagi itu bertukar menjadi pertemuan di forensik.

  • Wanita tersebut meluahkan rasa syukur pernah dicintai oleh seorang lelaki yang sangat baik.

  • Perkongsian itu dihujani doa dan ucapan takziah daripada orang ramai di Threads.

Biarpun ujian tersebut berat untuk ditanggung, wanita berkenaan meluahkan rasa syukur kerana dipertemukan dengan seorang lelaki yang disifatkannya terlalu baik. 

"Arwah baik sangat-sangat. Dialah yang terbaik yang Allah pinjamkan dekat saya. 

"Arwah cakap dekat mak dia sebelum kenal saya, dia kata tak mahu kahwin, nak jaga mak sampai mati. Allah makbulkan doa dia. 

"Saya kuat sebab saya tahu, saya orang yang dia sayang... sayang sampai akhir nyawa dia," tulisnya lagi.

Warga maya turut berduka cita dengan perkongsian berkenaan.

Dalam masa yang sama, wanita tersebut meluahkan rasa terharu di atas ucapan takziah dan doa orang ramai buat arwah tunangnya. 

Sehingga kini perkongsiannya di Threads meraih lebih 2,000 repost dan dihujani ribuan komen netizen.  

"Minta maaf tak dapat balas dan respons semuanya. Allahuakhbar, ramainya doakan kami. Insya-Allah saya kuat," tulisnya lagi.

Artikel Lain