suria

Sembilan IPTS Bakal Jalani Semakan Kelestarian - Mohamed Khaled

CYBERJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi mengenal pasti sembilan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang bakal menjalani semakan kelestarian tahun ini, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

IPTS tersebut ialah Universiti Industri Selangor (UNISEL), Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Malaysian University of Science and Technology, AIMST University, Twintech University College of Technology, Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Linton University College, Kuala Lumpur Metropolitan University College dan Lincoln University College.

Beliau berkata semakan kelestarian itu merupakan satu 'pemeriksaan kesihatan' ke atas IPTS untuk memantau pentadbiran dan penawaran perkhidmatan serta program yang ditawarkan.

“Sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada wakil-wakil dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan IPTS akan melakukan semakan kelestarian ini yang dijangka bermula bulan Februari ini.

“Terpulang kepada jawatankuasa ini bila selesai kajian tersebut. Tindakan (semakan kelestarian) akan dibuat oleh Sektor IPTS kementerian,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Universiti Malaysia of Computer Science and Engineering (UniMy) di sini Khamis.

Mohamed Khaled berkata IPTS tersebut dipilih berdasarkan kelemahan atau aduan yang diterima daripada orang ramai berhubung perkhidmatan dan prestasi mereka, atau yang dibuat secara rambang.

Selasa lalu, dalam Amanat Tahun Baru 2013 kementerian itu, beliau mengumumkan bahawa Kementerian Pengajian Tinggi akan memperkenalkan semakan kelestarian terhadap 10 IPTS setiap tahun untuk mengenal pasti IPTS yang mempunyai risiko dan seterusnya mengambil tindakan penambahbaikan.

Beliau berkata semakan kelestarian itu dilakukan untuk memastikan Malaysia berjaya menjadi hab pendidikan di rantau ini.

“Kini terdapat 70 buah universiti dan kolej universiti swasta di seluruh negara. Sehubungan itu, kementerian perlu mengambil berat perkhidmatan, kualiti program, infrastruktur yang sedia ada untuk memastikan mereka menjadi pemain penting untuk menjadikan Malaysia hab pendidikan,” katanya. - BERNAMA

Artikel Lain