suria

38 'Kaki Judi' Termasuk Empat Wanita Ditahan Dalam Serbuan

IPOH: Sebanyak 38 'kaki judi' termasuk empat wanita ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman ketika asyik berjudi di sebuah premis di Jalan Mustapha Al-Bakri di sini Isnin.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata dalam serbuan pukul 5.30 petang itu polis turut merampas wang tunai berjumlah RM73,464.

"Ketika serbuan mereka sedang duduk mengelilingi sebuah meja panjang. Daripada jumlah wang tunai yang kita rampas itu, sebanyak RM11,452 berada di atas meja pertaruhan manakala selebihnya daripada badan mereka," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau berkata siasatan awal mendapati aktiviti itu didalangi sebuah sindiket yang menjalankan aktiviti secara terancang di sekitar bandar raya ini sejak beberapa tahun lepas.

Premis perjudian yang terletak di tingkat tiga lot bangunan kedai berkenaan pernah diserbu dua tahun lepas, katanya.

Selain itu ada beberapa suspek yang terlibat itu pernah ditahan atas kesalahan yang sama dilakukan di premis judi di Tambun di sini, katanya.

"Polis mendapati penganjur aktiviti ini menjalankan kegiatan mereka secara berpindah-randah bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa," katanya.

Sum berkata dalam serbuan semalam, polis juga merampas pelbagai peralatan judi termasuk mangkuk kecil, 338 cip pelbagai warna, kalkulator, kotak kapur tulis, tiga biji dadu dan sebuah papan panjang.

"Kita meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berhubung kegiatan perjudian terutamanya menjelang perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan mereka yang ditahan berusia 19 hingga 73 itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh untuk siasatan lanjut. -BERNAMA

Artikel Lain