suria

Menteri Agama suruh siasat kes lelaki pakai gaun terbelah sampai paha

Video tular memaparkan seorang lelaki didakwa berpakaian menyerupai wanita semasa menghadiri sebuah majlis bertaraf antarabangsa.

JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) diarah menjalankan siasatan susulan video tular memaparkan seorang lelaki berpakaian menyerupai wanita semasa menghadiri sebuah majlis bertaraf antarabangsa di Kuala Lumpur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata langkah itu bagi membolehkan tindakan sewajarnya dikenakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Ujarnya, Jawi juga diminta bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi menurunkan kandungan berkaitan di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki hadir acara pakai fesyen feminin dianggap melampaui batas, tak patut dinormalisasi

"Perbuatan tersebut mengundang reaksi negatif masyarakat dan disifatkan sebagai mencabar sensitiviti agama serta norma budaya di negara ini.

"Daripada perspektif Islam, perbuatan menyerupai jantina lain adalah bercanggah dengan syariat dan tidak wajar dinormalisasikan dalam masyarakat," katanya dalam kenyataan pada Khamis, sambil menambah pihaknya memandang serius isu berkenaan.

Dalam masa sama, beliau berkata pendekatan dakwah dan pencegahan akan terus diperkukuh melalui khutbah, program keagamaan dan penyampaian di media sosial bagi meningkatkan kefahaman masyarakat serta memelihara keharmonian dan nilai budaya negara.

Terdahulu, video memaparkan seorang lelaki yang didakwa berpakaian wanita ketika menghadiri satu majlis bertaraf antarabangsa, menjadi tular di media sosial dan mengundang reaksi negatif warga maya.

Difahamkan, individu tersebut merupakan juri bagi majlis yang dihadirinya itu.

Artikel Lain

Ibu Ziana, Anuar Zain meninggal dunia