suria

Warga Singapura Dan Wanita Tempatan Ditahan Dipercayai Edar Dadah

JOHOR BAHARU: Polis menahan seorang lelaki Singapura dan seorang wanita tempatan serta merampas pelbagai dadah bernilai RM50,000 di sebuah rumah di Taman Iskandar di sini dua hari lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kedua-dua mereka yang berumur 38 dan 28 tahun ditahan pada pukul 11.45 pagi selepas polis bertindak atas maklumat berkaitan pengedaran dadah.

"Dadah yang dirampas itu membabitkan 250 biji pil disyaki Eramin 5, 3.82 gram disyaki heroin, 4.79 gram disyaki ganja, 7.72 gram disyaki syabu serta 71 biji disyaki pil ecstasy.

"Kesemua dadah ini dianggarkan boleh dibekalkan kepada 403 orang penagih dadah," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini Khamis.

Mohd Mokhtar berkata polis percaya kedua-dua suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah terlibat dengan rangkaian pengedaran dadah ke Singapura dan siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengesan individu lain yang terlibat.

Beliau berkata ujian air kencing ke atas lelaki tersebut mengesahkan dia positif dadah dan kedua-dua mereka kini ditahan reman sehingga 12 Feb depan.

Menurut Mohd Mokhtar, seorang lelaki dan wanita rakyat Singapura turut ditahan kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah, di sebuah bilik hotel di bandar raya ini dua hari lepas.

Katanya serbuan terhadap mereka yang berumur 46 dan 31 tahun itu dilakukan pada pukul 8.30 pagi dan lelaki terbabit yang didapati positif dadah mendakwa dia bekerja sebagai peguam, bagi mengelirukan pihak berkuasa.

Polis merampas 9.4 gram disyaki ganja dan 0.7 gram disyaki ketamin yang dianggarkan bernilai RM500 daripada mereka sebelum menahan kedua-duanya untuk siasatan lanjut, katanya.

Dalam kes lain, beliau berkata polis berjaya menumpaskan kumpulan samun yang menyamar sebagai anggota polis selepas menahan dua lelaki yang sedang menyamun sebuah rumah di Taman Rinting, Masai pada 19 Jan lepas.

Beliau berkata kedua-dua mereka yang berumur 29 dan 35 tahun ditahan sejurus polis menerima laporan mengenai jenayah tersebut di rumah berkenaan.

"Laporan diterima polis pada pukul 2 pagi yang mengatakan empat lelaki telah memperkenalkan diri sebagai anggota polis lalu menyerbu masuk dan menyamun rumah itu. Ekoran dari itu, polis bergegas ke tempat kejadian dan berjaya menahan dua daripada mereka.

"Polis kemudian merampas satu ves berwarna biru, satu kad kuasa berwarna kuning, satu jaket biru, sarung pistol, sarung gari berlambang polis, dua pasang gari, satu walkie-talkie, lima telefon bimbit pelbagai jenama, lima rantai, dua kunci kenderaan serta satu beg duit mengandungi pelbagai dokumen milik orang lain daripada mereka," katanya.-- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain